Monday, September 15, 2014

#PRKPengkalanKubor : MB Kelantan Akui Calon PAS Bukan Dari Ulama, Wan Rosdi Calon PasMa?

pilihanraya kini     12:10 PM    


Ketokohan dalam ilmu agama kini tidak lagi menjadi kriteria penting bagi seseorang menjadi calon PAS untuk bertanding pada pilihan raya, kata Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata soal calon tidak dari kalangan ulama bukan kriteria penting dan ia tidak mempengaruhi sokongan pengundi terhadap PAS.
Katanya, disebabkan itu calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor adalah seorang kontraktor binaan dan berjawatan sebagai Setiausaha PAS Kawasan Tumpat.
Bercakap kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini, beliau berkata berdasarkan kriteria sebagai anak tempatan, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, dipilih sebagai calon PAS pada PRK itu.
Wan Rosdi akan menghadapi pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, 48; dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ketika ditemui pula berkata berdasarkan kriteria calon sebagai anak tempatan dan aktivis masyarakat, parti itu yakin Wan Rosdi dapat merampas kerusi DUN Pengkalan Kubor.
Katanya, PAS akan menggunakan strategi berkempen dan berkunjung dari rumah ke rumah.
Mohamad berkata PAS juga akan meneruskan manifesto pada Pilihan Raya Umum lalu bagi menarik sokongan pengundi.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua berkata walaupun parti itu memberi laluan kepada PAS bertanding kerusi merebut DUN itu, beliau yakin pengundi akan memberikan sokongan kepada Wan Rosdi.
“PRK ini adalah penting untuk beri keyakinan kepada rakyat dengan kecenderungan pengundi akan menentukan prestasi Pakatan di Kelantan,” katanya.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.
Pada PRU Ke-13 tahun lepas, Nor Zahidi yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Shaharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.