Sunday, September 14, 2014

#PRKPengkalanKubor : Mustapa Minta NGO 'R' Tidak Gunakan Isu Royalti Petroleum

pilihanraya kini     4:40 PM    


 Barisan Nasional (BN) menasihatkan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong PAS dan masih memainkan isu royalti petroleum pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, agar menghentikan kempen memburukkan kerajaan Persekutuan berkaitan isu berkenaan.

Pengarah Jentera BN PKR Pengkalan Kubor Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata isu berkenaan sudah tidak relevan dimainkan NGO yang dikenali sebagai 'R' kerana kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan telah memuktamadkan beberapa perkara mengenai isu itu.

"NGO 'R' ini bukan entiti kerajaan Kelantan. Bagi kerajaan Persekutuan jika ada masalah kita akan melakukan perundingan bersama dan beberapa perkara mengenai isu itu sudah dimuktamadkan.

"Cara 'R' berkempen sebelum ini bukan cara Islam. Bukan berkempen dengan cara mahu menyebat saya dan melaung-melaung perkara itu di jalan raya. Ini tidak betul. Cara Islam adalah melalui musyawarah seperti mana yang kita lakukan dengan menubuhkan jawatankuasa mengenai royalti itu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mustapa berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan hasilnya wang ehsan yang membabitkan jumlah sebanyak RM40 juta setiap tahun telah diberikan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Katanya mulai tahun depan pula, wang ehsan berkenaan telah dipersetujui bersama iaitu cara pembayarannya akan dibuat sama rata antara JPP dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

"MAIK ini mewakili kerajaan negeri dan mulai Januari tahun depan kita telah bersetuju untuk diberikan secara 50-50 dengan JPP kadar jumlahnya dan persetujuan ini dilakukan secara musyawarah," katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata tindakan NGO 'R' itu sangat tidak bertanggungjawab dan sepatutnya tohmahan kononnya kerajaan Persekutuan menafikan hak Kelantan itu perlu dihentikan.

Beliau berkata PAS sepatutnya menasihatkan NGO itu berhenti memainkan isu berkenaan pada kempen PRK ini yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Mustapa turut meminta Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob agar menjelaskan kepada rakyat apa yang telah dilakukan kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan selama ini.

"Ramai rakyat tidak tahu, saya sendiri telah beberapa kali bertemu Menteri Besar Kelantan dan pemimpin negeri yang lain bagi menyelesaikan banyak perkara seperti pelaburan dan pembangunan untuk memakmurkan negeri ini," katanya.

Semalam isu royalti itu turut disentuh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang yakin PAS akan menggunakan isu itu sebagai senjata semasa kempen PRK berkenaan.

Muhyiddin dilaporkan berkata PAS boleh mewujudkan satu jawatankuasa bagi menyiasat mana-mana pihak termasuk Petronas apakah benar royalti berkenaan adalah milik mereka atau sebaliknya.

Mengulas perkara itu, Mustapa berkata tiada sebab kerajaan Persekutuan mahu mengadakan perundingan dengan 'R' kerana NGO itu bukan entiti kerajaan negeri.

Pada PRK itu pada 25 Sept ini, calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail akan ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.