Friday, September 19, 2014

#PRKPengkalanKubor : PAS gempur besar-besaran di Pengkalan Kubor selepas tamat muktamar

pilihanraya kini     11:30 AM    


PAS akan melancarkan gerak gempur secara besar-besaran bersama parti-parti pakatan pembangkang dalam kempen minggu terakhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor selepas Muktamar PAS berakhir Sabtu ini.
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kelantan Muhammad Hafiz Musa berkata Pemuda PAS menggerakkan jenteranya bersama Anak Muda Keadilan (AMK) untuk melaksanakan pelbagai program gerak gempur dalam kempen PRK itu bagi membantu calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim.
Dalam tempoh tiga hari ini, katanya semua pemimpin tertinggi PAS berada di Kota Tinggi, Johor bagi menghadiri Muktamar Agung parti itu.
"Selepas muktamar PAS, semua pimpinan-pimpinan tertinggi daripada tiga parti pakatan pembangkang akan turut menyertainya.
"Setakat ini kita tidak menyusun ceramah besar, yang kami tumpukan hanya ceramah secara berkelompok dan kempen rumah ke rumah", katanya.
PRK 25 September ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail dan Wan Rosdi.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.
Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan Saharun Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.