Sunday, September 14, 2014

#PRKPengkalanKubor : Penganjur ceramah perlu mohon permit lebih awal

pilihanraya kini     5:00 PM    



Polis meminta pihak yang mahu menganjurkan ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor supaya memohon permit lebih awal bagi membolehkan polis menyediakan perkhidmatan kawalan.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan, Asisten Komisioner Dahlan Mohd Noor, berkata selepas penamaan calon semalam, banyak ceramah diadakan di tepi jalan hingga mengganggu lalu lintas.
"Jika penganjur memohon permit lebih awal polis dapat menugaskan anggotanya untuk mengawal lalu lintas bagi memastikan ceramah berjalan lancar," katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Gerakan Marin Pengkalan Kubor di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, polis menerima enam permohonan permit bagi mengadakan ceramah iaitu lima daripada Barisan Nasional (BN) dan satu daripada PAS.
Mana-mana pihak yang mengadakan ceramah tanpa permit akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dahlan berkata, sepanjang PRK itu seramai 840 anggota polis akan bertugas bagi menjamin keselamatan dan memastikan keadaan terkawal.
Pada PRK itu, calon BN, Mat Razi Mat Ail, 48, akan ditentang calon PAS iaitu Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, Nor Zahidi mengalahkan calon Shaharun Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary yang juga bertanding sebagai calon Bebas kali ini dengan majoriti 1,736 undi.
Hari pengundian ialah pada 25 September ini. 

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.