Thursday, September 18, 2014

#PRKPengkalanKubor : Peruntukan RM4juta projek pembangunan pertanian di Pengkalan Kubor

pilihanraya kini     4:00 PM    


Mulai tahun ini, kehidupan pesawah di kampung Jal Kecik dan Kampung Teluk Jering di Pengkalan Kubor di sin telah berubah sehingga mampu keluar daripada kepompong kemiskinan apabila menyertai projek pembangunan tanah pertanian di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA).

Dua tahun lepas, mereka tergolong sebagai rakyat termiskin kerana hanya berpendapatan kira-kira RM400 bagi setiap musim penanaman padi.

Projek yang dibangunkan pada 2009 oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan diselia Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) itu memberi insentif sebanyak RM2,000 per hektar kepada pesawah bagi setiap musim penanaman.

Pengerusi Kada, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata pihaknya menyasarkan untuk menjadikan kawasan Pengkalan Kubor sebagai Jelapang Padi Baharu dengan menjadikan kira-kira 5,000 hektar tanah terbiar sebagai sawah padi menjelang tahun 2020.

Katanya, setakat ini 300 hektar daripada 533.55 hektar tanah milik 428 penduduk di kedua-dua kampung telah menyertai projek NKEA itu yang bermula awal tahun ini.

Md Alwi berkata, projek itu bermatlamat meningkatkan pengeluaran padi sekurang-kurangnya lapan tan per hektar.

“Projek berkenaan dilaksanakan bagi mengubah tanah terbiar yang tidak diusahakan, kembali ditanam dengan padi,”

“Kita beri insentif sehingga tempoh maksimum lima tahun kepada pemilik tanah yang menyertai projek berkenaan,” katanya.

Selain itu, kemudahan infrastruktur seperti tali air, longkang konkrit, parit jari dan jalan akan dinaik taraf supaya produktiviti penanaman padi di situ dapat ditingkatkan.

“Harga satu tan padi sekarang adalah RM1,200. Petani yang ada 10 hektar tanah boleh dapat RM12,000 untuk semusim dan dalam setahun, sekurang-kurangnya ada dua kali musim penanaman padi. Jadi petani boleh raih pendapatan sekurang-kurang RM48,000 setahun.

“Kementerian juga memperuntukkan hampir RM4 juta bagi membangunkan projek itu di Tumpat, melibatkan pembangunan infrastruktur sebanyak RM3.4 juta, manakala RM450,000 bagi pembayaran insentif,” katanya.

Md Alwi berkata Kada menyelia 29,000 hektar tanah padi di beberapa jajahan di negeri ini, antaranya Tumpat, Pasir Mas, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh dan projek berkenaan akan dilakukan secara berperingkat ke seluruh Kelantan.

Beliau berkata sejak NKEA diperkenalkan terdapat pemilik tanah di Bachok telah mencapai pengeluaran padi sebanyak 10 tan per hektar dan kini menjadi pesawah yang berjaya.

Bagaimanapun, projek berkenaan turut menghadapi masalah teknikal apabila pihaknya sukar untuk mengenal pasti pemilik asal tanah sawah terbiar itu terutamanya apabila pemilknya telah meninggal dunia.

“Selain itu, ada sesetengah pihak cuba menghasut pemilik supaya tidak menyertai projek berkenaan dengan mengatakan mereka akan kehilangan pemilikan ke atas tanah mereka sendiri,” katanya.

Md Alwi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas berkata bekas wakil rakyat Pengkalan Kubor Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pernah menemuinya dan meminta projek NKEA itu dilaksanakan di kawasannya.

“Ini salah satu daripada legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham dan saya akan sambung permintaan beliau. InsyaAllah petani yang menyertai projek ini akan meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM20,000 semusim selepas satu atau dua tahun projek ini dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Che Yam Che Had, 63, berkata beliau tidak perlu menukar status pemilikan tanah dan hanya perlu menandatangani dokumen perjanjian selama lima tahun dengan Kada bagi menyertai projek tersebut.

“Saya sendiri yang menguruskan dokumen perjanjian tanpa melibatkan pihak ketiga. Saya bersyukur kerana melalui projek ini, saya dapat sewakan tanah kepada petani selain menerima insentif yang lebih banyak,” kata beliau.

Seorang lagi peserta, Che Som Che Ali, 51, berkata projek berkenaan mampu memberi pendapatan sampingan kepada penduduk yang menyewakan tanah kepada pesawah.

“Dengan kos hidup yang semakin meningkat, ia banyak membantu penduduk kampung yang rata-ratanya tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya yang menyewakan 2.8 hektar sawah miliknya dalam projek NKEA Telok Jering Musim 1/2014 yang bermula awal bulan ini.

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor akan menghadapi pilihan raya kecil (PRK) pada 25 Sept ini berikutan kematian penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN) Noor Zahidi akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.

PRK itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.