Monday, September 15, 2014

#PRKPengkalanKubor : Polis Minta Wanita Bergerak Bersama Kumpulan Lelaki

pilihanraya kini     2:18 PM    


Polis meminta golongan wanita dari mana-mana parti politik yang menjalankan kempen dari rumah ke rumah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor supaya bergerak secara berkumpulan bersama lelaki.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan ACP Dahlan Mohd Noor berkata, kaum wanita diminta berbuat demikian bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Mereka mesti membawa beberapa orang lelaki bersama, ianya dapat mengelak daripada berlakunya gangguan penyokong parti lawan dan sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga.

"Ini kerana sudah tentu ada ada yang suka dengan kehadiran kita di rumah mereka," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau juga meminta golongan yang merayu undi dari rumah ke rumah supaya tidak menggunakan sebarang unsur paksaan kepada penduduk kampung untuk mengundi parti mereka.

Dahlan berkata pihak polis juga sentiasa membuat rondaan di seluruh kawasan kampung yang terlibat dalam PRK itu bagi memastikan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

"Setakat ini tiada lagi kes di laporkan dan kita harap kempen berlangsung secara aman sepanjang PRK ini," katanya.

Selain itu, Dahlan berkata setakati ini polis telah menerima 12 permohonan permit ceramah dan kesemuanya adalah daripada Barisan Nasional (BN).

"Oleh itu, mana-mana pihak yang mahu menganjurkan ceramah dinasihati untuk terus memohon permit lebih awal bagi memudahkan urusan kawalan terutama dari kawalan lalu lintas," katanya.

Pada PRK itu, calon BN Mat Razi Mat Ail, 48, ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas, Nor Zahidi mengalahkan calon PKR Shaharun Ibrahim dan Izat Bukhary yang juga bertanding sebagai calon Bebas dengan majoriti 1,736 undi.

Pengundian akan berlangsung pada 25 Sept ini.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.