Friday, September 19, 2014

#PRKPengkalanKubor : Siapa bakal berkubur di Pengkalan Kubor

pilihanraya kini     11:00 AM    


Walaupun ada pihak yang terus mempertikai dan menafikannya, demokrasi  tetap hidup subur di negara kita. Bukti fakta ini adalah pilihanraya kecil (PRK) di Pengkalan Kubor, Kelantan, akan diadakan pada 25 September depan.
Soalnya, siapa akan menang, dan siap akan terkubur di Pengkalan Kubor nanti?
Kerusi DUN Pengkalan Kubor merupakan salah satu dari 4 kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Tumpat, dan mengandungi 12 pusat daerah mengundi (PDM) – iaitu Pengkalan Kubor, Ketil, Tebing, Geting, Simpangan, Tujoh, Telaga Bata, Bunohan, Jubakar Darat, Bendang Pak Yong, Teluk Jering dan Kedai Geting.
Dengan keluasan 29.6 kilometer persegi, Pengkalan Kubor mempunyai kira-kira 50,000 penduduk pelbagai kaum (Melayu, Siam, Cina, India) terdiri dari petani, nelayan, buruh dan peniaga kecil. Dari jumlah itu, hanya  24,039 yang menjadi pengundi berdaftar – iaitu Melayu (91.9%), Cina (0.97%), India (0.1%) dan Siam (7.03%).    
Ada tiga calon bertarung – mewakili BN, PAS dan seorang calon bebas.
PRK Pengkalan Kubor ini terpaksa diadakan berikutan kematian ADUN sebelum ini, Datuk Noor Zaidi Omar, 57, akibat kanser.
BN diwakili oleh Ustaz Hj Mat Razi Mat Ail, manakala PAS diwakili oleh Wan Rosdi Wan Ibrahim. Calon bebas adalah Izat Bukhary Ismail Bukhary. Pada PRU13 lalu, Izat Bukhary hanya mendapat 65 undi, dan kemungkian besar pengundi Pengkalan Kubor akan terus menolaknya pada kali ini. 
Dalam PRU13, Datuk Noor Zaidi (BN) mengalahkan calon PKR dengan majority 1736 undi. Dalam PRK akan datang ini, PKR memberi laluan kepada PAS mencalonkan ahlinya. Besar kemungkinan PKR kini sedar harapannya untuk menang adalah tipis sekali, lalu menaruh harapan wakil PAS akan lebih bernasib baik dan mampu mengalahkan calon BN.
Ada pemerhati yang menyatakan kesanggupan PKR memberi laluan kepada PAS ini akan “dibalas” atau “dibayar” nanti oleh PAS memberi sokongan dan laluan kepada calon pilihan PKR menjadi Menteri Besar Selangor.
Mengenai peluang akan menang, seperti dijangka kedua-dua pihak (BN dan PAS) sama-sama yakin ia akan menang.
Di pihak BN, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin BN akan menang, tetapi dengan majoriti yang tidak besar. Katanya “Pilihan raya kali ini boleh dikatakan sengit pertandingannya sebab dulu walaupun kawasan BN, menang pun tak banyak.”
Di pihak PAS, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu merasa lebih yakin partinya akan menang kali ini. Katanya “Kita yakin menang. Kita dulu pun menang 700 lebih (peringkat Parlimen). Yang mengundi dacing hari itu akan mengundi bulan juga”.
Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai (selaku pemerhati yang berkpentingan) meramalkan majoriti pengundi Pengkalan Kubor akan menolak calon Pakatan Rakyat kerana rakyat sudah melihat betapa bercelarunya Pakatan Rakyat pada masa ini, selain perangai beberapa pemimpin PKR di Selangor.
Pada hari penamaan calon (13 September lalu) penduduk Pengkalan Kubor terkejut bila menyedari Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang tidak hadir. Selain itu, muka pemimpin Pakatan Rakyat lain (seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim dan Presiden PKR Wan Azizah) juga tidak kelihatan. Apa sudah jadi, tanya mereka?
Apakah ini semua petunjuk awal calon PAS akan kecundang dan terkubor di Pengkalan Kubor pada 25 September depan?
Selama ini Pengkalan Kubor dilihat sebagai satu kubu BN. Selama 3 penggal berturut-turut kerusi Pengkalan Kubor dimenangi oleh calon BN.
Paradoksnya, sekalipun calon BN akan menang lagi pada 25 September depan ini, kemenangan ini tidak akan mendatankan apa-apa impak negatif kepada kerajaan PAS Kelantan. Ia akan kekal menerajui kerajaan negeri Kelantan, yang tetap kekal sebagai negeri kubu PAS.
Sebab itulah mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, secara lantang berkata “Kita tak gentar dengan siapa pun dan kita harap PAS akan meletakkan calon yang boleh menang di kerusi berkenaan.”
Apapun, PRK Pengkalan Kubor memberi satu pengajaran pahit kepada kelompok ulama dalam parti PAS. Mat Sabu secara lantang telah menegur kelompok ini, yang disifatkan olehnya sebagai “terlalu ghairah memaparkan imej keIslaman”.
Pada pendapat Mat Sabu, kecenderungan “mencanang imej begini secara melampau” boleh menjadikan PAS tidak lagi relevant kepada rakyat Malaysia di masa depan. (http://wargamarhaen.blogspot.com/2014/09/mat-sabu-tegur-ulama-pas-menjelang.html)
Timbalan Presiden PAS ini tidak begitu senang dengan peranan Majlis Syura sebagai badan tertinggi parti.  Baru-baru ini Majlis Syura telah menolak keputusan yang dibuat oleh   Jawatankuasa Pusat PAS berhubung calon MB Selangor yang baru.
Kesimpulannya kita lihat bahawa sementara di pihak BN, Khairy merasa yakin BN akan menang tipis (“menang pun tak banyak”), Mat Sabu yakin PAS akan menang mudah (“Yang mengundi dacing akan mengundi bulan”).     
Pengendali sebuah portal pro-pembangkang melihat PRK Pengkalan Kubor sebagai peluang PAS membalas dendam kekalahan silam. Katanya “kehilangan beberapa kerusi PAS di Kelantan sewaktu PRU 13 lalu telah menaikkan semangat penyokong PAS untuk terus bangkit membalas dendam”  ( http://wfauzdin.blogspot.com/2014/09/pas-bakal-rampas-pengkalan-kubur.html)
Ketua Pemuda Pas Malaysia, Suhaizan Kaiat juga yakin PAS akan menang di Pengkalan Kubor sekiranya parti itu berjaya mendapatkan sokongan padu anak-anak muda melalui program yang akan dilancarkan oleh sayap itu dalam masa terdekat. (http://malaysiagazette.com/ms/nasional/ pas-tumpu-golongan-muda-pada-kempen-prk-pengkalan-kubor)
Setiap calon yang bertanding dalam PRK Pengkalan Kubor ini mesti bersedia dengan “jawapan” mengenai pelbagai masalah yang dihadapi penduduknya. Antara masalah ini adalah banjir (masalah ini tidak dapat diselesaikan oleh Zahidi), ketiadaan infrastruktur komunikasi yang sempurna (harapan Zahidi yang tidak kesampaian), dan masalah Kuala Tujoh tertutup (menyekat sumber rezeki kaum nelayan). Tidak mustahil isu royalti dan pelaksanaan cukai GST akan turut dibangkitkan dalam ceramah politik calon-calon berkenaan.  
Selain itu, isu kesejahteraan hidup rakyat juga perlu dijawab oleh setiap calon – termasuklah isu air bersih, kutipan sampah (masalah yang sekian lama sinonim dengan Kelantan), perumahan rakyat, kemudahan asas untuk menarik pelaburan (iaitu pelabuhan dan jalanraya), dan jambatan menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Takbai di selatan Thailand. (http://msomelayu.blogspot.com/2014/08/enam-isu-penting-di-pengkalan-kubur.html).
Mana-mana calon yang boleh meyakinkan pengundi dia mampu menyelesaikan sebahagian besar (sekalipun tidak semua) masalah yang disebutkan tadi akan menang.  Mana-mana calon yang tidak mengambil peduli tentang masalah ini atau hanya pandai bercakap umpama tong kosong akan terkubur di Pengkalan Kubor.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.