Wednesday, September 17, 2014

#PRKPengkalanKubor tagih kasih sayang pemimpin BN dan Pas

pilihanraya kini     12:03 PM    


DALAM setiap hubungan tidak kira percintaan atau persahabatan, perkara paling utama adalah kejujuran dan kesetiaan.

Tanpa dua elemen ini, hubungan yang dibina akan hancur. Rasa sakit hati adalah perasaan yang amat sukar untuk diubati.

Apatah lagi, jika sahabat atau pasangan yang ditatang bagai minyak yang penuh mencipta cerita atau berbohong hidup-hidup mengenai hubungan itu.

Tiga perenggan di atas menceritakan hubungan sesama manusia. Namun jika direnung secara mendalam hubungan cerita itu tidak jauh bezanya dengan pentadbiran Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan.

Sejak 1990 sehingga hari ini, khalayak khususnya rakyat di negeri ini dibuai dengan mitos bahawa mereka dizalimi oleh Kerajaan Pusat. Pelbagai peruntukan disekat.

Mitos yang diasak setiap hari itu telah menjadikan perkataan zalim cukup sebati dalam minda rakyat negeri ini terutama penyokong tegar Kerajaan Pas Kelantan.

Bahkan jika disebut sahaja Kerajaan Pusat, perkataan pertama yang terpacul ialah zalim.
Kali ini perkataan zalim itu didendangkan dengan lebih rancak sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Setiap malam boleh dikatakan perkataan itu boleh didengar dengan jelas di corong-corong pembesar suara.

Pun begitu sehingga hari ini tuduhan zalim itu tidak pernah dikemukakan oleh pemimpin Pas dengan fakta yang tepat serta jelas sebaliknya hanya dibuat bermodalkan air liur semata-mata.
Namun bangkai tidak dapat ditutup dengan nyiru, lambat laun pekungnya akan keluar dan tetap terhidu jua.

Hal ini jelas apabila Laporan Ketua Audit Negara 2011 menegur Kerajaan Pas Kelantan kerana hanya menggunakan 42.9 peratus atau RM111.32 juta daripada RM259.73 juta pemberian bajet penyenggaraan jalan negeri daripada Kerajaan Persekutuan. Jumlah itu untuk tempoh 2009 sehingga 2011.

Untuk rekod, pada 2010, Kelantan menerima peruntukan sebanyak RM87 juta, 2011 (RM101 juta), 2012 (RM133 juta) dan 2013 (RM179 juta). Kesemuanya untuk kerja-kerja menyelenggara jalan.

Soalnya ke mana perginya peruntukan tersebut sedangkan jalan di negeri ini masih lagi berlubang di sana sini?

Pada 6 Mac 2014, selepas panas telinga diasak oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri, Datuk Hanifa Ahmad mengakui peruntukan yang diberikan Kerajaan Pusat itu telah digunakan untuk tujuan lain termasuk membina dewan.

Di sini siapa yang zalim? Wang yang ada diuruskan untuk perkara lain.

Seterusnya, bagaimana pula dengan pemberian Kerajaan Pusat untuk perbelanjaan mengurus sebanyak RM590,155,478 sejak sembilan tahun lalu?

Tanpa wang ini kakitangan awam Kerajaan Pas Kelantan mungkin akan mengadakan mogok besar-besaran kerana setiap hujung bulan tidak ada wang gaji dalam akaun mereka.

Salah satu fungsi utama pemberian perbelanjaan mengurus ialah untuk membayar gaji atau peranannya yang lebih besar adalah untuk menampung kekurangan akaun mengurus kerajaan negeri (defisit).

Dan Kelantan ialah penerima tertinggi pemberian Kerajaan Pusat untuk menampung kos pengurusan di negeri ini. Sedangkan negeri ini tidak menyumbang balik untuk Kerajaan Pusat kerana hasil cukainya amat rendah.

Pada masa sama, sejak 23 tahun lalu, Kelantan dibelenggu dengan masalah bekalan air bersih. Tuduh pemimpin Pas, ini juga disebabkan kezaliman BN.

Sedar atau tidak sejak tahun 13 tahun lalu Kerajaan Pusat telah menyalurkan bantuan lebih RM1.528 bilion untuk Kerajaan Pas Kelantan bagi mengatasi masalah ini. Bantuan tersebut dalam bentuk geran sebanyak RM634 juta dan pinjaman RM894 juta.

RM1,528 juta adalah satu jumlah yang besar. Ke mana perginya wang ini? Kenapa tidak digunakan sebaik-baiknya untuk kebajikan rakyat Kelantan?

Angka tidak pernah menipu. Apatah lagi angka ini diaudit sepanjang masa. Jika tidak sudah lama ditegur oleh Laporan Ketua Audit Negara.

Bagaimanapun sekarang bukan masanya untuk mencari siapa yang zalim atau siapa yang menjadi mangsa. Kini, kita perlu kembali kepada hubungan seperti yang disebutkan pada awal artikel ini.

Berceritalah dengan jujur kepada rakyat. Binalah hubungan di antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dengan penuh kejujuran dan kasih sayang demi 1.5 juta anak negeri ini.
Buang sifat dendam dan jangan pula sengaja menyakitkan hati pihak satu lagi kerana ia tidak akan memberikan sebarang keuntungan.

Jadikan PRK DUN Pengkalan Kubor sebagai platform untuk membina kasih sayang dan perpaduan di antara dua parti terbesar umat Melayu Islam di negara ini.

Kepada pengundi, BN telah berjaya membuktikan keupayaannya untuk mentadbir negara ini. Kerajaan Pas Kelantan tidak akan goyah sedikit pun jika BN kekal di N.01 Pengkalan Kubor. Justeru, kekalkan BN di sini demi masa depan yang lebih baik.


BN sokmo-sokmo.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.