Sunday, September 21, 2014

#PRKPengkalanKubor : Wan Rosdi akui belum ada rancangan pembangunan

pilihanraya kini     11:00 AM    

Calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang sebelum ini dicanang partinya sebagai individu yang sudah lama berkhidmat di kawasan Pengkalan Kubor, hari ini mengakui belum ada perancangan berkaitan ekonomi dan kebersihan akan dilaksana beliau andai menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan, 25 September ini.
Sebaliknya, ketika ditemui pada sidang media di Markas Besar PRK PAS di sini, pagi tadi, Wan Rosdi sekadar menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) Tumpat.
"Tentang kebersihan kita akan bekerjasama dengan PBT Tumpat, dan peningkatan ekonomi kita kena bekerjasama pula dengan kerajaan negeri," katanya enggan mengulas lanjut walaupun ditanya berulang kali oleh media
Terdahulu wartawan bertanyakan apakah bentuk perancangan terperinci berkaitan pembangunan ekonomi serta hal ehwal kebersihan setempat yang akan dilakukan Wan Rosdi andai pengundi di DUN berkenaan memilih beliau sebagai wakil rakyat baharu.
Lebih mendukacitakan apabila jawapan balas yang sepatutnya dikupas sendiri oleh Wan Rosdi diambil alih Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang kerap mencelah ketika wartawan mengajukan soalan kepada calonnya.
"Lepas PRK baru kita ada perancangan (pembangunan ekonomi dan kebersihan). Inilah kita nak pilih wakil rakyat kerajaan (Kelantan). wakil rakyat pembangkang (Barisan Nasional (BN) di Kelantan) tidak kerjasama dengan Majlis Daerah sebab kita (PAS) kerajaan memerintah.
"YB (Yang Berhormat) kita (PAS) bersama dalam PBT dan akan duduk dalam PBT, jadi senang untuk selesaikan masalah kebersihan rakyat," katanya ketika mencelah.
Dalam pada itu, Takiyuddin dalam sidang media itu turut mengulangi gesaannya bahawa isu royalti tidak sepatutnya dibangkitkan dalam kempen PRK kali ini memandangkan perkara itu masih berada di Mahkamah.
"Saya masih mengulangi, perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan sebab ia sekarang masih berada dalam mahkamah, ini subjudis. Kita beri ingatan kepada pihak belah sana (BN) jangan buat provokasi kerana ini satu penghinaan kepada mahkamah. kalau kita buat aduan, mereka boleh dikenakan tindakan," katanya

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.