Sunday, September 21, 2014

#RKPengkalanKubor : Pengkalan Kubor medan tolak politik kebencian, perpecahan

pilihanraya kini     1:30 PM    


Suasana tenang dan harmoni sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor setakat ini membuktikan parti-parti bertanding telah menolak sama sekali politik kebencian dan perpecahan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, parti bertanding khususnya Pas setakat ini telah mengamalkan kempen yang cukup sihat berbeza dengan pilihan raya sebelum ini yang mana mereka sering kali mengamalkan politik seperti itu.

Beliau berkata, perkembangan positif itu diharap akan berterusan sehingga hari pengundian 25 September ini.
"Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum pengundian, saya lihat kempen kedua-dua parti (Pas) dan Barisan Nasional (BN)) cukup berhemah.

"Kempen sihat ini bukan sahaja perlu ada pada pilihan raya tetapi apa jua pemilihan yang mana politik kebencian, perpecahan dan menabur fitnah perlu ditolak.

"Jentera parti selepas ini akan balik ke kawasan masing-masing yang tinggal hanya wakil rakyat. Bayangkan kalau ditanam sifat kebencian, pasti berlaku porak peranda dikalangan masyarakat. Alhamdulilah politik begitu ( kebencian) bukan pegangan kita (BN) sejak awal lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu calon BN, Mat Razi Mat Ail di Pondok Kampung Simpangan di sini hari ini.

Terdahulu Hishammuddin yang juga merupakan Menteri Pertahanan menunaikan solat Jumaat di Masjid Simpangan bersama penduduk di kawasan itu.

Hishammuddin selepas itu turut meluangkan masa beramah mesra dengan pelajar pondok berkenaan selain memberi kata-kata semangat kepada mereka.

Malah Hishammuddin turut mengumumkan perkhabaran gembira apabila bakal memperuntukkan RM50,000 untuk pembangunan pondok yang diasaskan calon BN itu.

Sementara itu Hishammuddin berkata, beliau melihat penerimaan masyarakat di sini terhadap calon BN cukup baik dan kebanyakan mereka menyukai keperibadiannya.

"Saya amat berharap dia (Mat Razi) akan diberi tanggungjawab dan amanah mewakili rakyat di Pengkalan Kubor ini," katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.