Tuesday, November 25, 2014

#PAU2014 : Menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2014 Daripada Pak Lah

pilihanraya kini     10:59 AM    





Perhimpunan Agung UMNO bakal tiba sekali lagi. Tiap kali tiba masanya, saya teringat kembali perhimpunan-perhimpunan lalu dan saya merasa kembali perasaan dan semangat pada masa itu. Mungkin hari ini ramai yang mempunyai pelbagai pandangan terhadap semua ini. Ada juga yang memandang sinis terhadap acara tahunan ini. Tetapi bagi saya, walaupun berpuluh tahun telah berlalu dan banyak yang telah berubah, Perhimpunan Agung UMNO masih lagi begitu bermakna bagi saya.


Perjuangan UMNO adalah untuk agama, bangsa dan negara. Walaupun UMNO adalah parti untuk orang-orang Melayu dan Bumiputera, namun ianya juga wujud sebagai parti yang memimpin semua rakyat Malaysia. Sebagai parti terpenting dalam Kerajaan Barisan Nasional, Perhimpunan Agung UMNO menghuraikan betapa pentingnya kita menguruskan negara dengan adil untuk memastikan kemajuan bukan sahaja bagi orang Melayu/Bumiputera tetapi juga seluruh warganegara, bagi mencapai keseimbangan dan keadilan sosio-ekonomi di kalangan masyarakat majmuk Malaysia. Dalam hal ini, orang Melayu telah banyak menunjukkan kemajuan tetapi tidak dapat dinafikan bahawa agenda ini masih belum selesai.

Namun itu saya akui bahawa formula dan falsafah politik bagi mencapai keadilan dan keseimbangan sosio-ekonomi ini harus berubah. Peningkatan ekonomi orang Melayu tidak perlu diiringi syak wasangka atau teori konspirasi antara kaum. Dalam mengejar kemajuan untuk orang Melayu kita tidak perlu menuding jari atau menyinggung perasaan orang lain.

Hari ini, ramai yang merasakan bahawa UMNO mempunyai atau menyokong unsur-unsur ekstremis bangsa dalam negara. Pada saya, ini amat menyedihkan dan membimbangkan. Mungkin ada segelintir yang setuju dan tertarik dengan pandangan dan retorik ekstremis dan agresif. Namun saya percaya kebanyakan rakyat Malaysia mahukan pimpinan parti yang benar-benar memahami masalah mereka. Mereka mahukan parti yang cuba mendapatkan penyelesaian kepada isu dan masalah mereka. Mereka mahukan parti yang mendekati rakyat dan pandai mencuit hati rakyat. Untuk menepati kehendak geo politik semasa, UMNO perlu menjadi parti yang lebih proaktif bukan lebih agresif.


Pada Perhimpunan Agung UMNO ini, saya berharap suara-suara positif akan terserlah. Mereka yang pandai menghuraikan agenda Melayu bukan melaungkannya sahaja. Gunalah pendekatan positif untuk membangunkan umat Melayu Islam dan bakarlah semangat perjuangan dan bukan semangat perkauman supaya agenda UMNO dapat diterima semua. Saya percaya retorik dan falsafah politik UMNO perlu diperbaharui dengan segera, seiring dengan perkembangan falsafah politik rakyat Malaysia masakini.

Saya juga berharap orang bukan Melayu tidak akan salah faham bila mendengar pemimpin UMNO berbincang dan berhujah mengenai hal orang Melayu, dan membuat tuduhan yang bukan bukan. Walaupun mungkin ada ucapan yang berbunyi lantang, UMNO bukanlah parti yang rasis. Saya berharap juga tiada pihak-pihak yang lain seperti media cetak atau elektronik, blogger dan cyber trooper, yang mengambil kesempatan untuk membatu api-kan ahli UMNO dengan rakyat jelata.

Saya doakan Perhimpunan Agung UMNO 2014 berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil agar UMNO terus mendapat sokongan orang Melayu. Biarlah perhimpunan ini menjadi medan percambahan minda dan pembaharuan pemikiran. Selamat bersidang.


Sumber : http://www.paklah.net/2014/11/menjelang-perhimpunan-agung-umno-2014/


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.