Saturday, November 29, 2014

#PAU2014 : Mohd. Zaidi Dikecam Akhbar Cina

pilihanraya kini     12:14 PM    




Perbahasan Perhimpunan Agung UMNO yang menyentuh masyarakat Cina segera mendapat perhatian akhbar-akhbar berbahasa Cina.

Kenyataan perwakilan dari Permatang Pauh, Pulau Pinang, Datuk Mohd. Zaidi Said bahawa kekayaan orang Cina Pulau Pinang adalah kerana perniagaan haram segera mengundang reaksi pelbagai pihak.

China Press dalam satu rencana menyatakan bahawa Mohd. Zaidi cuba melabelkan perniagaan haram sebagai hak eksklusif kaum Cina.

Akhbar itu turut melihat kenyataan Mohd. Zaidi sebagai penuh prejudis dan berfikiran sempit.

Kenyataan tersebut dikatakan mungkin menyebabkan salah faham kaum lain terhadap masyarakat Cina.

"Perniagaan haram bukan hak ekslusif orang Cina atau orang Cina Pulau Pinang. Transaksi haram berlaku di seluruh negara.

"Ia bergantung sama ada pihak berkuasa menjalankan tugas penguatkuasaan secara tegas dan penuh integriti,"

Mohd. Zaidi dilaporkan berkata bahawa kekuatan Cina di Pulau Pinang datang daripada bisnes haram termasuk pelacuran, perjudian, loteri dan pusat hiburan haram.

Rencana China Press turut menyatakan kenyataan Mohd. Zaidi sebagai mengecewakan.

"Kenyataan ekstrim dalam Perhimpunan Agung UMNO sememangnya menyebabkan pihak yang diserang berasa bosan dan sedih, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa kerana UMNO merupakan parti politik utama di Malaysia.

"Nasib baiklah masih ada perwakilan lain yang lembut dan bersikap sederhana dalam Perhimpunan Agung UMNO."

Sementara itu, Guangming Daily turut dilihat memberi liputan meluas terhadap kenyataan Mohd. Zaidi mengenai bisnes haram Orang Cina Pulau Pinang.

Berlainan dengan China Press (edisi petang) yang menyiarkan berita Mohd. Zaidi di muka surat keempat, Guangming Daily (edisi petang) bagaimanapun menyiarkan ringkasan berita tersebut di muka depan berserta berita penuh di muka surat ke-11.

Sebuah lagi akhbar Cina, Sinchew Daily pula melaporkan berita Mohd. Zaidi di muka surat ketujuh.

Akhbar itu turut memetik kenyataan Naib Presiden Gerakan, Dr. Dominic Lau mengkririk pemimpin UMNO yang membangkitkan isu perkauman.

"Saya berasa tidak berdaya berbuat apa-apa dan hanya boleh bercakap, dengan rakan sepasukan macam ini, Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan musuh lagi.

"Usaha BN untuk memulihkan sokongan pengundi Cina akan bertambah susah."

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.