Saturday, November 29, 2014

#PAU2014 : Pembangkang Penakut

pilihanraya kini     4:04 PM    



Kepimpinan pembangkang yang mengkritik perhimpunan Agung UMNO sebenarnya memperlihatkan rasa takut pihak pembangkang terhadap perhimpunan terbesar orang Melayu ini, demikian jelas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menurut beliau, akibat rasa takut itulah maka kepimpinan pembangkang membuat serangan dengan cara mengkritik perhimpunan ini sebagai pentas lakonan, pentas rasis dan sebagainya.

“Bagi saya kita kena lihat kritikan pihak pembangkang ini daripada beberapa sudut. Dan salah satunya adalah akibat rasa takut dan gentar mereka terhadap perhimpunan agung UMNO ini yang boleh memberikan impak yang besar dan pengaruh terhadap rakyat.

“Apabila mereka mengkritik kita dengan mengatakan bahawa perhimpunan agung UMNO ini sebagai pentas lakonan dan sebagainya, bagi saya sebenarnya mereka takut. Mereka tahu, inilah sebenarnya tempat cetusan idea yang mungkin akhirnya menjadi polisi kerajaan untuk semua rakyat.

“Apabila mereka memperlekehkan perhimpunan Agung UMNO ini, bermakna mereka takut. Mereka tahu dan sedar bahawa perhimpunan Agung UMNO ini sebenarnya memberikan impak yang hebat kepada orang Melayu dan juga rakyat di negara ini,” tegas beliau kepada UMNO-Online ketika ditemui di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Namun hakikat ini tidak akan diakui oleh pembangkang kerana sememangnya sifat pembangkang di negara ini yang sentiasa cuba untuk menyemaikan persepsi negatif kepada rakyat untuk mencemarkan imej UMNO, kata beliau lagi.

“Sebab itulah mereka cuba memperkecil-kecilkan perhimpunan agung UMNO ini. Namun saya yakin, hakikatnya di dalam hati sanubari mereka, kepimpinan pembangkang tahu perhimpunan agung UMNO ini memberikan kesan yang besar terhadap orang Melayu dan polisi kerajaan secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Justeru itu beliau menyeru kepada ahli-ahli UMNO agar memahami bahawa memang benar bahawa UMNO adalah sebuah parti bumiputera namun ahli-ahli UMNO perlu memperlihatkan sikap bahawa UMNO ini sebenarnya ialah untuk semua rakyat di negara ini.

“Biarpun UMNO adalah parti Melayu, bumiputera tetapi hakikatnya perjuangan UMNO adalah untuk semua kaum dan lapisan masyarakat seperti Cina, India, orang asli dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak dan lain-lain lagi.

“Jadi tuduhan yang mengatakan UMNO itu adalah parti rasis itu tidak benar dan apa yang penting, kita jangan terjebak dengan permainan pembangkang dan kita perlu teruskan usaha kita untuk memperbaiki pemerintahan negara,” ujarnya.-MediaUMNO

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.