Saturday, November 29, 2014

#PAU2014 : Penduduk Kampung Chubadak Masih Percaya UMNO

pilihanraya kini     2:03 PM    



Pemuda UMNO Bahagian Batu, yakin penduduk-penduduk Kampung Chubadak masih percaya UMNO mampu mempertahankan dan membela nasib mereka.

Ketua Pemudanya, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, langkah menghantar memorandum Kampung Chubadak yang asalnya ingin disampaikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan petanda positif kepada parti itu.

“Saya memandang positif perkara itu kerana mereka menghantar memorandum kepada kita, maksudnya mereka menaruh harapan lagi pada UMNO dan pucuk pimpinan untuk menyelesaikan masalah yang ada.

“Dari segi politiknya positif kerana, kenapa mereka tidak menghantar memorandum itu kepada pucuk pimpinan PKR yang mana Ahli Parlimennnya ialah Tian Chua di situ?

“Kerana mereka tahu masalah ini tidak akan diselesaikan pucuk pimpinan PKR. Kenapa mereka juga tidak hantar memorandum kepada PAS itu sendiri, walaupun kita tahu penglibatan PAS atau PKR di situ,” katanya ketika mengadakan sidang media Penerangan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurut Gulam, memorandum yang diserahkan semalam yang turut diwakili Gerakan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) memberikan satu gambaran baik buat mereka yang masih menaruh harapan dan kepercayaan kepada UMNO.

UMNO sebagai sebuah parti yang berjuang untuk membela nasib Melayu dan mempertahankan agama Islam memandang positif perkara ini.

Beliau juga yakin bahawa penduduk kawasan itu percayai kemampuan dan keikhlasan Pemuda UMNO di Batu untuk membantu mereka menyelesaikan masalah tanah itu.

“Saya memandang positif sebab saya sendiri Ketua Pemuda Bahagian Batu yang duduk dengan penduduk di situ dan telah turun padang dan melihat sendiri apa kejadian yang berlaku.

“Jadi maknanya bila mereka datang dan hantar memorandum kepada Pemuda UMNO, masih ada ruang dan harapan dengan orang muda UMNO itu sendiri,” jelas beliau lagi yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan.



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.