Friday, November 28, 2014

#PAU2014 : SAYAP PARTI DIKECAM??

pilihanraya kini     12:24 PM    



KUALA LUMPUR, 28 Nov: Umno Perak mengecam Ketua Pemuda parti, Khairy Jamaluddin, dan Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin berhubung cara mereka mengendalikan sayap parti itu.

Wakil Umno Perak, Datuk Mohd Radzi Manan mendakwa Khairy dan juga Mas tidak berusaha untuk membangunkan parti itu.

Mohd Radzi berkata, Khairy dan juga Mas perlu mengubah sikap dan cara mereka memimpin sayap parti.

“Sebagai Ahli Parlimen sahaja tidak cukup. Mereka ini seperti tidak berdaya dan saya minta mereka bangun. Tolonglah bangun.

“Saya minta Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Umno tukar imej sayap itu. Apa yang mereka lakukan sekarang ini tidak cukup,” katanya kepada The Malaysian Times (TMT) semasa Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Khairy merupakan Ahli Parlimen Rembau manakala Mas merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Mohd Radzi, yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kampar, berkata Umno berikan mereka jawatan supaya mereka dapat menggerakkan sayap itu.

“Sebagai contoh kami berikan mereka kereta, kereta itu tidak akan bergerak sendiri. Pemandunya yang perlu berusaha untuk menggerakkan kereta itu,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung Umno 2014, yang memasuki hari kedua hari ini, bersambung dengan perbahasan usul Ucapan Dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Lapan perwakilan termasuk wakil mahasiswa tempatan dijadual membahaskan usul dalam perbahasan yang bermula pukul 8.30 pagi.

Perhimpunan agung, ditangguhkan untuk makan tengah hari dan solat Jumaat, sebelum perbahasan diteruskan dengan usul ekonomi dibentangkan oleh perwakilan Johor, Datuk Dr Adham Baba, yang juga Ketua Bahagian Tenggara.

Wakil Pergerakan Puteri Umno Nor Hazreena Mohamad Hashim daripada Umno Bahagian Batu sebagai penyokong bagi usul berkenaan.

Lima belas perwakilan akan membahaskan usul ekonomi.

Usul agama dan pendidikan pula dibentangkan selepas itu dan dibahaskan 15 perwakilan.

Sejumlah 2,752 perwakilan menghadiri perhimpunan parti Melayu terbesar yang

berlangsung selama tiga hari sehingga Sabtu.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.