Tuesday, November 25, 2014

#PAU2014 : TAHU SAJA,TAPI LEMBAB SAMPAI MESEJ PUN TAK GUNA – SYED HAMID

pilihanraya kini     6:41 PM    



UMNO perlu berdepan dengan perhubungan dunia digital jika tak mahu dianggap ketinggalan zaman. Ia juga bukan setakat perlu tahu menggunakan teknologi maklumat (IT) dan kemudahan internet tetapi harus memahami manfaatnya.
Begitulah pesan ikhlas dari otai politik, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, yang walaupun usianya hampir 70 tahun tetapi peka dengan perkembangan IT dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

“Kita bukan sahaja kena tahu menggunakannya tapi juga memahami manfaatnya. Kita mesti tahu gunakan Instagram, FB, Twitter dan sebagainya untuk menyebarkan mesej dan membentuk pendapat orang kerana dunia politik ini semuanya mengenai persepsi,” katanya.

Syed Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menjadi moderator Forum Antarabangsa UMNO berjudul “Perubahan kepada keseimbangan kuasa global di PWTC, Isnin.

Baginya UMNO kena tahu cara betul ‘bersilat’ dalam perang politik di media sosial.

“Sekiranya kita mahir dalam digital tetapi lembab menyampaikan mesej pun tak guna juga. Kita akan menghadapi masalah kalau pihak sebelah sana bertindak lebih dahulu dan sudah berjaya membentuk pendapat orang.

“Jadi saya fikir forum seperti ini adalah usaha paling baik oleh UMNO. Tahniahlah. Tapi jangan berhenti setakat ini. Ia kena diteruskan dengan memberi penekanan terhadap penyampaiannya,” katanya.

Diminta mengulas perbuatan memfitnah menerusi media sosial yang kerap berlaku kebelakangan ini, Syed Hamid berkata, adalah mustahil untuk menyekatnya.

“Kita sekat atau tutup akaunnya di sini, dia boleh guna penyedia perkhidmatan luar negara. Jadi kita tak boleh sekat tapi kita boleh menguruskannya.

“Kita ambil tindakan ke atas mereka bukan atas sebab menggunakan internet, tetapi kerana menggunakan internet untuk tujuan menghasut dan membawa huru-hara.

“Kita tak boleh sekat kebebasan orang nak pakai internet, tetapi kenalah ada kebertanggungjawaban.”

Sementaran itu Syed Hamid mencadangkan supaya hasil perbincangan Forum – Perubahan Dalam Keseimbangam Kuasa Global – dibentangkan ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Semasa forum semua delegasi bersetuju kita tak boleh menyekat orang menggunakan internet dan media siber.

“Bagaimana kita mahu mengawal pencerobohan peribadi dan melindungi negara dari serangan siber. Saya harap apa yang telah dibincangkan dalam forum tidak berakhir di sini, sebaliknya dibawa ke PBB. 

Sumber– AgendaDaily/OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.