Tuesday, November 25, 2014

#PAU2014 : Tidak Ada Sekatan Untuk Pembahas

pilihanraya kini     3:16 PM    


Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Jurucakap Perhimpunan Agung UMNO 2014, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tidak ada sekatan untuk pembahas berucap di perhimpunan agung berkenaan, namun ianya biarlah berfakta, tidak emosi serta rasional.

Menurut beliau apa yang dibahas serta diungkapkan pada perhimpunan tersebut bukan sahaja dilihat serta didengar oleh para perwakilan mahu pun ahli UMNO tetapi ramai lagi rakyat yang berbilang kaum dan agama di luar sana.

“Dalam kita nak berbahas biarlah kepada fakta, tidak beremosi, rasional dan berada di bumi yang nyata dan ingat perhimpunan ini tidak berkisar kepada perwakilan sahaja. Ramai di luar sana sedang memerhatikan perbahasan UMNO.

“Saya gembira kerana masih lagi ada minat orang ramai kepada perhimpunan agung UMNO. Kalau mereka di luar sana tidak kisah kita berhimpun, kalau mereka tak ambil peduli perbahasan kita, itu petanda yang cukup buruk kepada parti.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa dan Jurucakap, saya tengok suasana meriah dan dengan dibantu oleh Pengerusi serta Timbalan Pengerusi Tetap, Insya Allah melalui perhimpunan kali ini kita dapat lihat semangat baru daripada apa yang dibekalkan oleh perwakilan untuk kita gerakkan UMNO habis-habisan mengikut landskap politik hari ini yang sesuai dan boleh kita bawa dan diterima oleh setiap lapisan masyarakat pada masa-masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Taklimat Khas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin Bersama Jurucakap Usul Majlis Tertinggi (MT) dan sayap di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO seterusnya menambah pihaknya membuat penambahbaikan berdasarkan kepada roh dan semangat pindaan perlembagaan UMNO sebelum ini.

“Kita mahu UMNO lebih inklusif, terbuka dan lebih demokratik dan pendekatan kita tahun ini menerusi persidangan meja bulat, jawatankuasa khas yang turun ke bahagian untuk minta pandangan mereka dan kajian serta penelitian usul bahagian. Jadi pehimpunan ini penting dan cara kita bawa diri dan bahasa pun penting kerana diperhatikan oleh ramai,” ujarnya. 

Sumber -MediaUMNO


1 comments :

JIka tidak ada sekatan kenapa perlu diadakan taklimat bersama pembahas, adakah pembahas tidak pandai berucap , tidak pandai berkata-kata tidak pandai berjenaka atau dinasihatkan utk tidak sentuh itu dan ini tetapi bahas lah !!!!

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.