Tuesday, November 25, 2014

#PAU2014 : Tun M Tegur Tanda Sayang Parti - Mukhriz

pilihanraya kini     7:40 PM    



Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, teguran ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Presiden UMNO, Datuk Najib Tun Razak dan barisan kepimpinannya adalah bersifat sayang.

Bagaimanapun, beliau yakin dan percaya, Perdana Menteri bukan jenis pemimpin yang tidak boleh menerima teguran.

“Saya kira Najib bukan jenis pemimpin yang tak boleh terima teguran dan sebelum ini pun saya pernah mengatakan teguran Tun Mahathir tidak lebih kerana sayangnya kepada UMNO.

“Kalau dia (Tun Mahathir) masih menegur, maknanya dia masih lagi rasa ada sesuatu yang dia perlu kongsi bersama untuk kebaikan kita bersama,” katanya kepada pemberita selepas mengikuti sesi taklimat tertutup Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur hari ini.

Mukhriz yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, beliau mengenali bapanya kerana tidak menegur bermakna mantan Perdana Menteri itu tidak sayang lagi kepada UMNO.

Beliau berpandangan bapanya akan terus menegur pucuk kepimpinan parti dan susah baginya jika tidak berbuat demikian kerana Tun Mahathir pernah menjadi Presiden UMNO selama 22 tahun.

“Saya ingat susah bagi dia (kalau tidak menegur), sebab dah pernah menjadi Presiden parti selama 22 tahun. Ini bukan suatu yang boleh ditinggalkan begitu saja.

“Pencen pun pencen jugalah, tapi kalau dah ada sifat sayang, tentulah dia rasa sesuatu perlu dilakukan kalau ada perkara yang dilihatnya melemahkan parti.

“Yang Tun Mahathir nak ialah yang terbaik bagi kita semua. Itu saja. Lagipun, teguran itu memang positif, yang pentingnya apa kita akan lakukan bila ditegur begitu,” katanya.

Beliau melihat teguran bapanya itu masih lagi bersifat berhemah, tidak sampai ke tahap mengutuk.

Mengenai taklimat tertutup Presiden UMNO, Mukhriz berkata, ucapan Najib dalam taklimat itu mencerminkan apa yang Tun Mahathir nyatakan iaitu kepimpinan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan yang mesti lebih inklusif, khususnya dalam memberi peluang kepada orang muda.

“Saya ingat Najib sedar mengenai budaya kita yang menyekat orang muda berkaliber terlibat secara langsung dalam parti. Kalau kita tidak bersifat inklusif seperti yang disarankan oleh Presiden tadi, saya pun bimbang apa masa depan kita,” katanya.

Beliau berkata, sekarang ini tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila melihat anak muda Melayu dan profesional menjadi ahli DAP.

Katanya, golongan itu bukan sahaja menjadi ahli Pas dan PKR sahaja, malah turut memilih parti DAP sebagai platform mereka untuk berpolitik.

“Kalau dahulu orang Melayu atau anak muda masuk DAP, ia satu perkara tidak masuk akal, tetapi sekarang semakin menjadi-jadi.

“Najib juga mengingatkan kita supaya jangan merasa terlalu selesa. Kita mempunyai tempoh hanya tiga tahun sahaja lagi sebelum PRU 14. Sudah tentu kita tidak mahu dipintas oleh parti lawan dalam soal pendaftaran pengundi dan dalam soal meyakinkan rakyat supaya terus menyokong kita,” katanya.--MalaysiaGazette

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.