Thursday, November 27, 2014

#PAU2014 : Umno Remajakan Partinya?

pilihanraya kini     10:45 AM    



Umno mahu menjadi sebuah parti yang muda, parti yang boleh berhubung dengan generasi muda yang akan menjadi pengundi utama dalam pilihan raya umum akan datang.

Tetapi walaupun Umno cuba memberi nafas baru atau "meremajakan" parti itu, masih terdapat persoalan sama ada pemimpin mudanya mempunyai idea dan dasar yang boleh memenangi hati pengundi yang lebih kritikal dan ragu-ragu terhadapnya.

Ini kerana untuk kali pertama dalam tahun kebelakangan ini, dasar Umno dan kerajaan dibandingkan dengan pentadbiran kerajaan yang dikendalikan PAS, PKR dan DAP.

Umno percaya dengan meminjam amalan parti-parti yang lebih terbuka untuk mengangkat pemimpin yang lebih muda, ia boleh mengulangi kejayaan pesaing mereka dalam dua pilihan raya umum lepas.

Difahamkan kepimpinan kanan parti itu yakin dengan usaha peremajaan ini dan bersedia untuk melawan "panglima perang" mereka sendiri.

Mereka adalah pemimpin pertengahan yang sudah berusia yang mengawal akar umbi parti itu di 191 bahagiannya dan yang membentuk pendapat awam di peringkat bawah.

Ketika pilihan raya, pemimpin bahagian yang mengawal jentera parti dan sudah menjadi amalan Umno untuk memilih calon parti itu di kalangan mereka.

Budaya ini begitu berakar umbi sehingga pemimpin-pemimpin muda disekat daripada naik dan dipilih sebagai calon pilihan raya walaupun mereka lebih berbakat dan berkelayakan.

Budaya ini dikritik orang-orang seperti bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamed dan yang paling baru, pemimpin nombor dua mereka Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin sebenarnya menghabiskan satu pertiga ucapan beliau pada malam Selasa lalu semasa pembukaan perhimpunan Wanita, Puteri dan Pemuda, untuk bercakap mengenai pembaharuan dan bagaimana caranya untuk menyelamatkan Umno.

Beliau juga menyelar panglima perang yang menyekat kebangkitan parti dan mahu mereka yang sudah lama memegang jawatan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih baik.

Tetapi peremajaan perlu melampaui sekadar menggantikan orang yang tidak berguna di peringkat akar umbi.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun percaya untuk membolehkan Umno benar-benar mempunyai peluang dalam tahun-tahun mendatang, Kabinet sendiri perlu mempunyai kombinasi yang lebih baik daripada golongan profesional muda dan veteran berpengalaman.

"Purata umur dalam Kabinet sekarang ialah 58. Tetapi jika anda berumur 20 atau 30an, adalah sukar untuk mempercayai bahawa seseorang berumur 58 akan tahu masalah anda."

Pemuda Umno, terutama di bawah Khairy Jamaluddin, cuba membawa suara dan penyelesaian kepada masalah ini.

Khairy mencadangkan lebih banyak skim untuk membantu golongan pekerja muda memiliki rumah, meminda undang-undang kebankrapan dan yang paling baru, membantu mereka membeli kenderaan pertama mereka.

Hampir separuh ucapannya semasa merasmikan perhimpunan Pemuda Umno hari ini mengandungi cadangan polisi ini.

Semua ini boleh diterima pengundi muda. Menurut pengkaji bebas Merdeka Center, kebimbangan utama pengundi muda adalah isu-isu ekonomi asas seperti pekerjaan, pendapatan, perumahan dan kos sara hidup.

Namun apa yang lebih mustahak ialah sama ada Umno lebih baik daripada Pakatan Rakyat dalam menjalankan dasar-dasar yang akan memperbaiki kehidupan mereka.

Preskripsi dasar Pemuda Umno perlu memandang berhubung dengan bagaimana Umno dan Barisan Nasional menguruskan negara ini.

Sebagai contoh, semasa Pemuda Umno membawa masalah perumahan yang mahal, tidak satu pun perwakilan pada perhimpunan hari ini yang membahaskan sama ada wajar atau tidak menangguhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Juga tiada perwakilannya mengemukakan soalan mengenai kebimbangan dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh bankrapkan ekonomi.

Atau rasuah dan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan terus menjadi sumber kehilangan dana awam.

Atau mengapa Umno tidak memperjuangkan pendidikan tinggi percuma, di mana Pakatan Rakyat mendakwa ia mampu dilakukan jika ia mengambil alih kuasa persekutuan.

Juga berlaku percanggahan apabila Pemuda Umno mahu keluar dan memenangi pengundi muda, bandar dan berpendidikan tetapi mereka merasakan Akta Hasutan perlu dikekalkan.

Ini kerana kebebasan mempersoalkan dasar kerajaan, kata penganalisis Wan Saiful Wan Jan, adalah isu yang penting kepada kumpulan pengundi ini.

"Pengundi bandar mahu kebebasan jadi ia bertentangan dengan cadangan mengekalkan Akta Hasutan tetapi masih hendak mendapatkan undi bandar," kata Wan Saiful daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Kini, kira-kira 43% daripada warga Malaysia yang ditinjau Merdeka Center pada Oktober 2014 tidak berpuas hati dengan cara Umno dan Barisan Nasional mentadbir negara ini.

Kira-kira 38% pula berpuas hati dengan kerajaan.

Jadi, walaupun pemimpin parti Khairy membenarkan lebih ramai pemimpin muda ke dalam dewan penggubalan dasar, mereka masih menghadapi tugas berat untuk meyakinkan orang ramai bahawa idea mereka adalah lebih baik daripada senior mereka dan pesaing dalam PR. – 27 November, 2014.

Sumber : http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bolehkah-umno-remajakan-partinya#sthash.HZET7hQ8.dpuf

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.