Bendaharinya, Dr. Rosli Allani Abdul Kadir berkata, walaupun kenyataan Guan Eng tidak menyebut secara spesifik nama mana-mana parti, pihak media dan masyarakat tahu sindiran beliau ditujukan kepada Pas.

Menurut beliau, Dewan Pemuda Pas negeri memandang serius kenyataan Guan Eng dan menuntut Ketua Menteri Pulau Pinang itu memberi bukti terperinci kepada dakwaan beliau bahawa Pas merupakan sebuah parti yang tidak berpegang kepada janji.

“Jika beliau gagal berbuat demikian, maka dewan menuntut beliau segera menarik balik dakwaan itu serta meminta maaf kepada pemimpin dan ahli Pas.

“Hal ini kerana kenyataan beliau telah merendahkan martabat serta menjatuhkan maruah dan kedudukan Pas di mata masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketika berucap dalam Konvensyen DAP di Kuala Lumpur baru-baru ini, Guan Eng mendakwa walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin dibebaskan daripada tuduhan meliwat, kewujudan parti ‘cakap tak serupa bikin’ dikhuatiri tetap membawa masalah kepada pakatan pembangkang.

Beliau juga dilaporkan berkata, DAP tidak tahu bagaimana berurusan dengan parti berkenaan yang sentiasa berubah-ubah dalam membuat keputusan, di samping menegaskan parti itu berpegang pada prinsip dan sanggup bergerak sendirian demi menjaga prinsip tersebut.

Mengulas lanjut, Rosli Allani berkata, konvensyen sesebuah parti sepatutnya digunakan untuk membicarakan masalah dalaman, mencari jalan memperkuat parti atau pakatan politik yang disertai, bukan menghentam rakan sekutu.

“Tidak dinafikan bahawa seorang perwakilan Pas pernah membuat ucapan menegur pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang dalam Muktamar Pas, tetapi beliau menegur kerajaan negeri dan dibuat setelah cubaan lain gagal,” katanya.

Beliau dalam pada itu menyifatkan ucapan Guan Eng yang menyebut DAP sedia berjuang bersendirian demi prinsip dan masa depan rakyat sebagai tindakan tidak matang yang tidak sepatutnya dilakukan pemimpin tertinggi parti.