Wednesday, December 3, 2014

DISKUSI RCI SABAH : Pro & Kontra

pilihanraya kini     11:06 AM    


Ladang Kelapa Sawit Nadi Ekonomi Negeri Sabah
NEGERI MAKMUR JADI TUMPUAN 
HARI ini 3 Disember 2014, keputusan RCI mengenai isu kewarganegaraan dan kad pengenalan akan dibentangkan. Penantian seluruh rakyat Sabah terjawab kerana dapatan suruhanjaya ini sangat penting untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh semua pihak sejak bertahun-tahun lamanya.


Walau apapun keputusannya, saya yakin ianya akan memberi keutamaan kepada kepentingan, keselamatan dan masa hadapan Negara berbanding kemahuan sesetengah parti politik dan individu.


Kita berharap kerajaan akan mewujudkan sebuah Jawatankuasa Tetap untuk mengurus kemasukan warga asing sama ada dari Filiphina, Indonesia, China, Taiwan, India, Pakistan, Bangladesh juga dari Nepal. Khususnya kemasukan warga Filiphina dan Indonesia setiap hari sama ada sebagai pekerja, peniaga atau pelawat mesti diselenggara dengan baik kerana sebagai negara bersempadan kita tidak boleh mengelak perkara ini. 


Kemasukan rakyat Siam dari Pattani, Naratiwat, Danok ke Kelantan, Perlis dan Kedah tidak mungkin boleh dihalang kerana sebahagian besar mereka adalah masyarakat Melayu yang menetap di negara berkenaan. Sejarah yang direkabentuk oleh penjajah yang melakukannya.


Di Sabah, oleh kerana Sabah di dalam Malaysia 'makmur dan kaya', maka rakyat sempadan khususnya dari Indonesia dan Filiphina tidak boleh dielakkan memasuki Sabah. Mereka datang membawa hasil pertanian mereka. Mereka menjual segala macam di negeri Sabah seperti barang makanan, pakaian, bahan mentah, perhiasan dan segala macam lagi. Begitulah makmurnya Sabah berbanding negeri mereka. 

Silalah melawat 'Pasar Filiphina' di bandaraya Kota Kinabalu atau di 'Pasar Gantung' di bandar Tawau. Pelancong dari Semenanjung Malaysia pun sangat suka khususnya perhiasan mutiara, ikan kering dan udang kering. Semua barang tersebut berasal dari negara Filiphina dan Indonesia. Tiada siapa boleh menafikannya.


Oleh itu, saya berpendapat Kerajaan perlu menyelesaikan isu warga tanpa Negara, atau lebih jelas ialah warga tanpa Kad Pengenalan (state less). Isu ini pernah dibangkitkan oleh wakil parti SAPP pada tahun 1990an dahulu di dalam Parlimen. 


Permohonan dan kelulusan untuk menjadi warganegara Malaysia sangat ketat. Prosedur yang disediakan oleh kerajaan sangat ketat dan mengambil masa yang sangat panjang, mencecah 10 dan 20 tahun. Oleh itu, sekiranya seseorang yang dilahirkan di Sabah dengan hanya memiliki Sijil Lahir sahaja dan ibu bapanya pula belum menjadi Warganegara Malaysia, maka dia perlu melalui tempoh masa yang panjang untuk menjadi rakyat Malaysia.


Kesannya, jika dia memperolehi keputusan UPSR 5A, atau memperolehi keputusan SPM 10A, dia tidak boleh melanjutkan pelajarannya ke Universiti. Mereka ini tidak boleh balik ke negara asal ibu bapa mereka sama ada di Indonesia atau Filiphina kerana Kerajaan negara Indonesia/Filiphina juga tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat mereka. Mereka menjadi warga 'stateless'. Rakyat tanpa negara. Rakyat dengan status 'Warganegara Belum Ditentukan'. 


Oleh kerana isu tersebut, mereka terjebak dalam sindiket Kad Pengenalan palsu. Kerajaan tidak boleh dipersalahkan dalam kes palsu ini kerana di Amerika Syarikat sendiri, malah di Singapura, Thailand dan China sindiket pasport palsu berleluasa. Ianya adalah perbuatan individu. Malah, Kerajaan sudah menangkap beratus orang yang terlibat dalam sindiket kad pengenalan palsu di negara kita.


Dalam aspek ekonomi negeri Sabah, khususnya dalam aspek perladangan Kelapa Sawit, Koko, Pembinaan, Pembuatan, Perumahan, Perkebunan, Perhutanan dan Perkilangan tanpa pekerja asing saya yakin ekonomi Sabah akan merosot. Saya yakin ramai ahli-ahli perniagaan di Sabah akan mengeluh, merana dan tersiksa. Pendapatan negeri Sabah pasti merudum. Isunya rakyat tempatan di Sabah tidak mungkin mahu bekerja dalam sektor-sektor berat seperti itu dengan gaji yang rendah.
Bendera Negeri Sabah dan Jalur Gemilang
Apakah yang perlu dilakukan? 
1. Kursus Kenegaraan Malaysia mesti dilaksanakan kepada mereka apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan menurut Perlembagaan negara kita, dan undang-undang negeri Sabah.


2. Orientasi. Mereka yang masuk ke Sabah sebagai pekerja asing perlu diberikan orientasi mengenai budaya, bahasa, agama, ekonomi, politik dan sebagainya. Kebanyakan mereka yang bekerja ini akan terus bekerja di Sabah berpuluh-puluh tahun sehingga melahirkan anak mereka di Sabah. Akhirnya mereka tidak mahu balik ke negara asal mereka kerana sudah selesa, dan akhirnya mereka membuat keputusan untuk memohon kewarganegaraan Malaysia.


3. Perjumpaan berkala. Perjumpaan ini perlu dilakukan dengan bantuan majikan dan juga di kampung-kampung setahun sekali atau dua kali setahun untuk melihat perkembangan mereka dan isu-isu baharu yang berbangkit. Sekiranya RCI ada menubuhkan Jawatankuasa Tetap mengenai isu ini, maka jawatankuasa ini perlu berfungsi dengan berkesan.


Parti-parti politik dan NGO hendaklah memainkan peranan penting dengan memiliki pandangan yang jauh untuk keselamatan negara dan negeri Sabah, juga untuk kemajuan ekonomi negeri Sabah. 


Saya percaya, Dr. Jefrey Kitingan (Presiden STAR) sendiri bersetuju dengan saya bahawa jika 100,000 pekerja asing atau pekerja yang mempunyai masalah kewarganegaraan ini dihantar balik sekelip mata, ladang dan kilang Kelapa Sawit di Sabah akan tutup dan bankrap. 


Isu ini tidak boleh diurus dengan pemikiran yang negatif, beremosi dan prejudis. Sebaliknya isu ini hendaklah diurus dengan bijaksana, berpijak di bumi nyata dan berdasarkan peraturan-peraturan dan undang-undang sedia ada.


Salam hormat.
Aramaiti.

SUMBER

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.