Wednesday, December 24, 2014

Ketua Polis Nafi Darurat Di Kelantan #Banjir

pilihanraya kini     2:59 PM    






KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan menafikan darurat akan diisytiharkan di negeri ini berikutan banjir besar yang melanda.

Datuk Mazlan Lazim berkata keadaan banjir di negeri ini masih terkawal.

"Rakyat Kelantan tidak perlu bimbang," katanya dalam sidang media sebentar tadi.


KETUA Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim bertanya sesuatu kepada penduduk kampung yang menaiki bot ketika melawat mangsa banjir di Kampung Ketereh di sini baru-baru ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

..................................................................................................................................................

KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum mempunyai rancangan untuk mengisytiharkan darurat di Kelantan atau negeri lain di Pantai Timur Semenanjung walaupun keadaan banjir semakin buruk, lapor portal BNBBC.my.

Setiausaha MKN, Datuk Thajudeen Wahab dilaporkan sebagai berkata, MKN membuat keputusan tersebut kerana keadaan banjir sentiasa berubah-ubah apabila satu kawasan hampir pulih, kawasan lain pula teruk dilanda banjir.

Beliau memberikan contoh banjir di Gua Musang yang serius semalam sudah beransur surut tetapi limpahan air mengalir menyebabkan kawasan Kuala Krai pula dilanda banjir.

“Kita terus memantau situasi ini dan merancang pelan menyelamat mangsa-mangsa banjir dari masa ke semasa berdasarkan keadaan terkini kawasan-kawasan dilanda banjir,” Thajudeen dipetik sebagai berkata oleh BNBBC.my.

Jumlah terkini mangsa banjir di sembilan jajahan di Kelantan adalah seramai 26,108 orang membabitkan 7,462 keluarga.

Thajudeen berkata, ada masanya kerja-kerja menyelamat agak sukar kerana cuaca dan arus deras.

“Semalam, ada bot penyelamat terbalik. Helikopter juga terpaksa berpatah balik kerana cuaca buruk,” katanya.

Menurut beliau, usaha menyelamat pada hari ini di kawasan-kawasan yang teruk terjejas dan terputus hubungan darat adalah dengan menggunakan helikopter yang membawa bot penyelamat ke kawasan berkenaan.

“Helikopter akan turunkan bot bagi membawa mangsa-mangsa banjir yang terperangkap keluar ke pusat pemindahan,” katanya.

Sehingga kini semua agensi penyelamat termasuk jabatan bomba, jabatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera (ATM) terbabit dalam gerakan banjiir.

Selain Kelantan, Pahang dan Terengganu juga turut terjejas.

Jumlah mangsa banjir yang di tempatkan di semua pusat pemindahan di Pahang adalah seramai 10,325 orang meningkat daripada 2,768 orang.

Manakala di Terengganu pula, jumlahnya bertambah pagi ini kepada 22,515 orang daripada 16,691 orang malam tadi.

Perak, Perlis dan Sabah juga terjejas dengan semakin ramai penduduk di pindahkan malam tadi dan awal pagi ini. - Astro Awani

Kenyataan dari MKN ini sekaligus menyangkal dakwaan Kelantan telah diisytihar darurat yang sedang digempar-gemburkan di media sosial sekarang.

Diharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih kerana dikhuatiri menimbulkan perasaan resah dalam kalangan umum lebih-lebih lagi dalam saat-saat getir seperti ini.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.