Wednesday, December 3, 2014

LAPORAN #RCI SABAH : SUHAKAM TIPU RAKYAT MALAYSIA

pilihanraya kini     4:49 PM    


Sebelum ini, SUHAKAM telah memberi kenyataan bahawa terdapat 1 juta pendatang asing telah diberikan Kad Pengenalan Biru oleh Kerajaan untuk tujuan memenangkan Barisan Nasional pada pilihanraya yang lepas. Kenyataan ini adalah berdasarkan pengiraan oleh Dr. Chong Eng Leong, bekas pemimpin Parti Bersatu Sabah.

Atas dasar kenyataan ini dan beberapa dakwaan oleh pemimpin pembangkang, Kerajaan di bawah kuasa Yang DiPertuan Agong telah menubuhkan Suruhanjaya DiRaja Siasatan (RCI) Pendatang Asing Di Sabah.

Namun, setelah dibentangkan oleh Ketua Setiausaha Negara sebentar tadi, tidak terdapat sebarang bukti bahawa wujudnya ‘Projek IC’ malah prosedur pemberian Kad Pengenalan Biru tersebut telah diberikan mengikut proses yang tertib tanpa sebarang kecelaruan.

Angka 1 juta pendatang asing diberikan kad pengenalan biru adalah satu dakwaan yang jahat bermotifkan politik. SUHAKAM yang dibelakangi oleh pemimpin pembangkang telah menipu rakyat dengan angka 1 juta tersebut.

Jumlah sebenar kad pengenalan yang telah diberikan kepada pendatang asing ini adalah 67,675 sahaja sejak 1963 sehingga 31 Ogos 2013. Manakala pemberian kerakyatan pula adalah seramai 68,703 orang pendatang asing sahaja.Angka ini merupakan angka rasmi sebagaimana yang ditunjukkan di dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara.Perlu diingatkan bahawa bagi tempoh tersebut, Sabah telah melalui 5 buah kerajaan sebelum ini iaitu UNKO, USNO, BERJAYA, PBS dan kemudian barulah Barisan Nasional.

Manakala, jumlah kerakyatan yang telah dilucutkan adalah seramai 23,628 orang atas pelbagai kesalahan seperti mengundi di India dan sebagainya. Manakala SPR pula mengikut hasil siasatan Suruhanjaya ini juga telah menggugurkan seramai 78,340 nama di dalam senarai pengundi. Ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menjalankan tugas mereka dan juga ketelusan SPR dalam menjalankan daftar nama pengundi tanpa memenangkan mana-mana parti politik.

Siasatan RCI juga mendapati tidak wujud sebarang bukti kewujudan ‘Projek IC’ ataupun ‘Projek Mahathir’. Yang wujud hanyalah kegiatan sindiket yang mengeluarkan sijil kelahiran, resit sementara dan juga kad pengenalan secara haram yang tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.

Kerajaan pula dari segi dasar dan polisinya secara jelas telah menggariskan peraturan-peraturan yang khusus dan ketat untuk membolehkan pendatang asing memohon menjadi warganegara. Namun begitu, wujudnya masalah di peringkat pelaksanaan apabila terdapatnya pegawai kerajaan yang tidak bertanggung jawab bersubahat dengan sindiket demi kepentingan kewangan peribadi.

Namun begitu, mereka ini yang sejumlah 22 orang pegawai dari agensi berkaitan telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan tindakan undang-undang pun telah diambil.


Secara jelasnya, dakwaan SUHAKAM seramai 1 juta pendatang asing adalah palsu semata-mata tanpa asas bukti yang kukuh dan ini boleh dianggap sebagai hasutan untuk menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia dan khususnya rakyat Sabah. Kerajaan harus mendakwa mereka yang telah menyebarkan fitnah jahat ini yang kononnya terdapat pendatang asing sengaja didaftarkan demi kepentingan politik kerajaan. Malahan, siasatan harus dijalankan mengenai dakwaan penglibatan pendatang asing kaum Cina yang dikatakan telah masuk pada pilihanraya lepas untuk mengundi parti DAP.

2 comments :

assalamualaikum...salam sejahtera
saya ingin mendapatkan beberapa maklumat mengenai isu laporan RCI Sabah
bagaimana saya ingin berhubung dengan pihak anda?
ini no saya 03 2612 5687
dan alamat email
elzanadiahss@gmail.com
mohon reply
terima kasih

SUHAKAM said...

Kepada Pemilik dan para Pembaca yang dihormati sekalian,

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) ingin merujuk kepada entri artikel bertajuk “Laporan #RCI Sabah: SUHAKAM Tipu Rakyat Malaysia”, yang mana Suruhanjaya menyifatkan kenyataan-kenyataannya berikut adalah salah dan memberi gambaran tidak benar mengenai Suruhanjaya:

i) “Sebelum ini, SUHAKAM telah memberi kenyataan bahawa terdapat 1 juta pendatang asing telah diberikan kad pengenalan biru oleh Kerajaan untuk tujuan memenangkan Barisan Nasional pada pilihanraya yang lepas”;
ii) “Angka 1 juta pendatang asing diberikan kad pengenalan biru adalah satu dakwaan yang jahat bermotifkan politik. SUHAKAM dibelakangi oleh pemimpin pembangkang telah menipu rakyat dengan angka satu juta tersebut”.

Suruhanjaya ingin menegaskan bahawa sebagai sebuah badan berkanun bebas yang telah ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 (Akta 597), ia tidak mempunyai sebarang afiliasi dengan mana-mana parti politik di negara ini seperti dimaksudkan oleh kenyataan-kenyataan berkenaan. Suruhanjaya dalam menjalankan fungsi dan kuasanya di bawah Aktanya, dimandatkan untuk, antara lain:

• menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia;
• memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia dan untuk mengaku janji mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar dan bengkel dan untuk menyebarkan dan mengedarkan hasil penyelidikan itu;
• menasihati Kerajaan dan/atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan kepada Kerajaan dan/atau pihak berkuasa itu langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil.

Atas dasar mandat ini, Suruhanjaya telah menjalankan satu penyelidikan setelah menerima sebanyak 154 aduan serta beberapa memorandum di antara tahun 2004 dan 2006, yang antara lain, mengetengahkan kebanjiran warga asing di Negeri Sabah, serta dakwaan terdapatnya pemberian kewarganegaraan kepada warga asing yang tidak layak di Negeri tersebut. Hasil dari penyelidikan tersebut, Suruhanjaya telah mengeluarkan satu laporan bertajuk “Human Rights and Citizenship in Sabah: Its Impact on Economic, Social and Cultural Rights” (2006) yang merupakan dokumentasi kepada siasatan Suruhanjaya yang merangkumi laporan prosiding lawatan dan sesi perbincangan dengan penduduk tempatan. Di dalam laporan itu, Suruhanjaya tidak mengeluarkan statistik menyatakan tentang kemasukan mahupun tentang pemberian kewarganegaraan kepada warga asing. Laporan Suruhanjaya ini telah dirujuk oleh “Laporan RCI Pendatang Asing di Sabah” (2014).

Susulan penyelidikan yang dibuat, dan selari dengan mandatnya untuk menasihati pihak berkuasa berkenaan, Suruhanjaya telah megesyorkan agar pihak Kerajaan menyiasat dakwaan-dakwaan lambakan dan pemberian kewarganegaraan kepada rakyat asing yang tidak layak, serta pengeluaran dan penggunaan IC palsu di kalangan rakyat asing di Sabah. Suruhanjaya juga telah menyokong seruan kepada Kerajaan agar satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kebanjiran warga asing di Sabah yang mana penubuhannya disambut baik oleh Suruhanjaya.

Sekian, terima kasih.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
Tingkat 11, Menara TH Perdana,
Jalan Sultan Ismail
50250 Kuala Lumpur
Tel: +603-2612 5600
Fax: +603-2612 5620

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.