Monday, December 22, 2014

Magis Dollah Salleh- Harimau Malaya Wajar Di Puji

pilihanraya kini     12:35 PM    


video

Kejayaan Malaysia mara ke final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014, yang melabuhkan tirai di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi, membuktikan Dollah Salleh mempunyai 'sentuhan ajaib' dalam membawa skuad negara melangkah lebih jauh.

Dollah yang mula mengambil alih 'kerusi panas' itu daripada Datuk K. Rajagobal pada Julai lepas, melakar kejayaan dengan membawa skuad Harimau Malaya layak ke final walaupun banyak pihak meragui kemampuan beliau membentuk pasukan mantap dalam tempoh singkat.

Skuad itu, yang hanya sempat berkumpul bagi sesi latihan pusat selama dua bulan, membuktikan kemampuan dengan mara ke final sebelum kalah dengan agregat 3-4 kepada juara tiga kali, Thailand.



Malaysia menang 3-2 ke atas Thailand pada aksi timbal balik malam tadi, namun gagal meraih kejuaraan kedua selepas 2010, berikutan kekalahan 0-2 pada final pertama di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Rabu lepas.

Untuk rekod, Malaysia meraih kejuaraan sulung Piala AFF pada 2010 di bawah Rajagobal menerusi agregat 4-2 ke atas Indonesia.

Kapten pasukan, Muhammad Shukor Adan yang ditemui pemberita selepas final kedua malam tadi, menyifatkan Dollah mempunyai sentuhan berbisa dan yakin jurulatih itu mampu membimbing pasukan negara meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.


"Sebelum kejohanan bermula, ramai pihak memandang rendah kemampuan Dollah serta pemain senior yang ada dalam skuad ini tapi akhirnya, kami buktikan kepada mereka kami berjaya ke final.

"Beri peluang kepada Dollah untuk merealisasikan harapan rakyat Malaysia bagi menaikkan mutu bola sepak negara. Apa yang Dollah buat pada perlawanan ini serta perlawanan terdahulu, kita harus hargai," kata pemain berusia 35 tahun itu yang membuat penampilan terakhir bersama skuad kebangsaan malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan era 70-an, Bakri Ibni turut bangga dengan kejayaan Dollah yang berjaya meningkatkan mutu persembahan skuad Harimau Malaya walaupun diberi tempoh singkat untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan itu.

Beliau bagaimanapun menggesa pemain skuad Harimau Malaya supaya mengubah mentaliti dengan memberi fokus lebih jauh, iaitu beraksi di kejohanan benua Asia.
#HARIMAUMALAYA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.