Dalam kejadian pukul 11.15 malam itu, mangsa, Siti Nor Ain Maisarah Romli yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dikejarkan ke Hospital Teluk Intan namun disahkan meninggal dunia pada pukul 8 pagi ini.

Menurut ibu mangsa, Nita Saidin, 41, ketika kejadian, dia yang baru sahaja pulang dari membeli barang di kedai berhampiran dan pergi ke dapur untuk menyimpan barang manakala suaminya, Romli Osman, 47, pula di bilik air.

Katanya, ketika itu anaknya itu sedang tidur di ruang tamu berdekatan kabinet televisyen.
“Sebelum itu, sebaik sahaja saya dan suami membuka pintu rumah, kami melihat beberapa ekor kucing sedang berlari-lari di ruang tamu berdekatan tempat anak saya tidur.
“Semasa ke dapur untuk menyimpan barang yang dibeli, saya nampak beberapa ekor kucing melompat keluar melalui tingkap bersebelahan televisyen dan me-langgarnya.
“Ini menyebabkan televisyen berkenaan terjatuh bersama kabinet lalu menghempap anak saya yang sedang tidur,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, kepala anaknya berdarah akibat dihempap televisyen dan mereka segera membawa Siti Nor Ain ke Hospital Teluk Intan.
“Sebelum kejadian, anak saya gembira dan kelihatan seperti biasa. Saya tidak menyangka bunyi dentuman kuat malam tadi adalah bunyi televisyen yang menghempap anak saya,” katanya.

Jenazah kanak-kanak malang itu akan dikebumikan di kampung asal pasangan suami isteri itu di Tanah Perkuburan Islam Air Hitam, Kedah.