Monday, December 15, 2014

Orang Melayu Semakin Berpecah - Bekas Ketua Hakim Negara

pilihanraya kini     2:40 PM    



Orang Melayu kini berdepan situasi perpecahan sehingga suara majoriti menjadi minoriti dan suara minoriti menjadi kuasa penentu.


Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, orang Melayu dilihat masih tidak sedar atau peduli akibatnya.

“Ada yang berkuasa seolah-olah hendak mengaut keuntungan selagi masih ada masa. Yang baharu merasa nikmat berkuasa sudah menunjukkan tamaknya, yang baru jadi Yang Berhormat seolah-olah sudah lupa daratan.

“Semasa orang Melayu sedang bercakaran sesama sendiri, orang bukan Melayu, terutama orang Cina, membuat perkiraan. Mereka telah menguasai ekonomi, pelajaran dan bidang-bidang lain, sekarang mereka nampak peluang untuk merampas kuasa politik,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), semalam.

Sehubungan itu, katanya, NGO seperti Perkasa perlu memainkan peranan dan bukannya menjadi punca perpecahan orang Melayu.

“Dalam keadaan sekarang, Perkasa hendaklah terus menyokong dan cuba memperbetulkan Umno. Perkasa juga perlu cuba menarik penyokong atas pagar dan dari Pas, malah PKR, termasuk orang muda, supaya menyertai Umno.

“Selain itu, Perkasa mesti berusaha mewujudkan kerjasama Umno dan Pas sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan, bersama-sama parti anak Sabah dan Sarawak serta parti dalam BN lain yang sehaluan. Itu sahaja jalan untuk mencapai sebuah negara yang aman, tenteram, bersatu padu dan makmur,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Perkasa hanya boleh memainkan peranan itu jika pemimpin dan ahlinya bersih dan berintegriti.

“Janganlah masuk Perkasa kerana untuk mendapat projek. Orang seperti itu patut disingkir daripada Perkasa.

“Lebih baik Perkasa mempunyai bilangan ahli yang kecil tetapi bersih, disegani dan berintegriti daripada mempunyai ahli yang ramai tetapi berulat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha yang dilakukan Perkasa bagi memastikan Akta Hasutan 1948 dikekalkan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

“NGO Melayu yang memainkan peranan paling besar menentang pemansuhan Akta Hasutan adalah Perkasa. Tetapi, saya mesti ingatkan bahawa perjuangan kita masih belum selesai.

“Kita perlu memastikan apa yang dikatakan Perdana Menteri akan dilakukan seperti yang sepatutnya. Kita mesti beri perhatian kepada peruntukan yang akan dimasukkan seterusnya bagaimana akta itu dilaksanakan,” katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.