Monday, December 15, 2014

Parti Wakili Masyarakat India Bekerjasama Bela Kebajikan Kaum!

pilihanraya kini     9:42 AM    





Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap semua parti politik mewakili masyarakat India di negara ini bekerjasama dan bersatu untuk memastikan kebajikan kaum itu terus dibela dan diperkasakan.

Beliau berkata walaupun masyarakat India hanya mewakili 7.5 peratus penduduk negara ini, kaum itu diwakili lebih banyak parti berbanding jumlah parti yang mewakili kaum lain.

"Keadaan ini menyukarkan kerajaan untuk mengadakan program khusus untuk membantu golongan berkenaan.

"Walaupun ini lebih mudah diucapkan daripada dilakukan, saya amat berharap parti-parti mewakili kaum India bekerjasama, supaya kita dapat memastikan wakil politik masyarakat India akan menjadi lebih efektif pada masa depan," katanya.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) kali ke-22 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, Ahad.

Selain IPF, antara parti politik yang mewakili kaum India ialah MIC, Makkal Sakti, Parti India Bersatu Malaysia (MIUP) dan Parti Progresif Penduduk (PPP).

Berhubung permintaan Presiden IPF Datuk M. Sambanthan untuk menerima IPF sebagai anggota BN, Najib mengakui IPF memberi sumbangan besar dalam memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya sebelum ini.

"Saya mendengar rintihan IPF terutama keinginan menyertai BN. Saya berharap IPF tidak akan putus asa kerana dalam politik keadaan sentiasa berubah," katanya.

Namun, Najib menerangkan sistem BN memerlukan sokongan daripada semua parti komponen dalam melakukan sebarang keputusan besar, antaranya menerima mana-mana keahlian menyertai BN.

"Walaupun IPF tidak menjadi ahli BN berstatus penuh, tetapi parti itu mempunyai semangat, sama seperti anggota parti BN. Cuma, ia akan mengambil masa untuk menyakinkan semua pihak bahawa yang penting dalam dunia politik ialah kekuatan," jelas beliau.

Sehubungan itu, Najib turut mengingatkan kira-kira 1,200 anggota IPF yang hadir pada perhimpunan hari ini untuk terus meningkatkan peratusan sokongan pengundi India pada pilihan raya umum akan datang.

"Sebagai pengerusi BN, saya ingin lihat tahap sokongan pengundi India ditambah dan kita pasti boleh melakukan. Ini adalah kerana kerajaan fokus kepada program khusus bagi masyarakat India, dan bukannya seperti pembangkang.

"Oleh itu, saya dalam proses menyediakan buku baharu yang akan memuatkan kisah-kisah individu masyarakat India yang berjaya melalui bantuan kerajaan termasuk pinjaman mikro kredit daripada Amanah Ikhtihar Malaysia, bantuan pendidikan, biasiswa, matrikulasi atau bantuan latihan teknikal," katanya.

Justeru, Najib berkata mudah-mudahan buku yang bakal dikeluarkan itu dapat menambah keyakinan masyarakat India, dan menurut Perdana Menteri, hasrat kerajaan untuk memajukan dan memperkasakan kaum itu adalah ikhlas dan benar.

Antara yang turut hadir ialah Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dan Naib Presiden Kanan PPP Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

-- BERNAMA




0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.