Tuesday, December 2, 2014

#PAU2014 : Tanpa Wang, Pemuda BN Tidak Akan Dapat Tempat

pilihanraya kini     11:27 AM    


Desakan pemimpin muda yang mahu mendapat tempat dalam Umno tidak dapat direalisasikan jika mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh, kata penganalisis politik.

Mereka berkata, untuk mendapatkan tempat dalam Umno, sesaorang itu memerlukan wang yang banyak, bukan soal bakat atau faktor umur tua atau muda.

Pengarah Institut Jeffrey Cheah Profesor James Chin berkata masalah pemimpin muda yang gagal diketengahkan dalam Umno tidak berkaitan dengan dasar parti tetapi sebaliknya faktor ekonomi.

"Masalah bukannya dasar Umno. Masalahnya untuk mendapatkan jawatan tinggi dalam Umno memerlukan wang yang banyak.

"Jadi, jika mereka yang mempunyai bakat tetapi tidak mempunyai wang itu bermakna mereka tidak ada peluang," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider.

Ketika ditanya adakah Umno berani melakukan perubahan daripada terus dibayangi fenomena itu, Chin berkata:"Tak mungkin. Jika kita sudah 'melabur' dengan wang yang banyak, adakah kita akan berundur secara sukarela?"

Seorang lagi penganalisis berpandangan pemimpin muda yang berjaya dilahirkan semasa tampok pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikan Umno kini terdiri daripada ramai pemimpin senior.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata pemimpin Umno kini kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berpengalaman 30 tahun dalam arena politik.

“Pada 1981, apabila Dr Mahathir jadi perdana menteri, dia membawa orang muda menyertai Kabinet. Dia paling senior.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi menteri besar pada usia 33 tahun, Datuk Seri Najib Razak pada usia 28 tahun dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad menganggotai Kabinet pada usia 29 tahun. Semuanya anak muda yang diberi tempat dalam parti.

“Kesannya, survival mereka lama. Bayangkan survival mereka 30 tahun, mereka masih beroperasi dalam politik. Pengalaman itulah yang mereka bawa," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Shaharuddin berkata kini pendekatan itulah yang digunakan Pakatan Rakyat (PR) bagi melahirkan pemimpin untuk generasi akan datang.

Katanya, keengganan seseorang pemimpin untuk melepaskan jawatan sudah menjadi lumrah apatah lagi memikul beberapa tanggungjawab pada masa yang sama.

"Katalah kita membawa masuk mereka yang berusia lebih 50 tahun, mereka boleh survive hanya 10 tahun tetapi pembangkang boleh berinteraksi dalam politik 20 hingga 30 tahun akan datang. Jika mereka pegang jawatan sekarang, pengalaman mereka sangat berharga.

“Transformasi hanya boleh dilakukan dengan syarat pemimpin ada keazaman politik dan merasakan parti politik berada dalam keadaan bahaya jika proses penggantian kepimpinan tidak berlaku dengan baik.

“Mereka juga berdepan risiko politik kerana tindakan mereka tidak baik tetapi kena buat. Kalau tidak mereka akan berdepan masalah pertukaran kepimpinan," katanya.

Beliau berkata apabila menyentuh soal peremajaan, PR dilihat lebih ke depan berbanding BN apabila anak muda diberi ruang menduduki jawatan yang strategik.

Katanya, senario itu dapat dilihat apabila anak muda dipilih bukan saja di peringkat parti tetapi di peringkat kerajaan yang diperintah, peluang menjadi calon pilihan raya dan sebagainya.

“DAP sendiri kepimpinan parti peringkat negeri banyak dipimpin golongan muda seperti Liew Chin Tong di Johor, Ong Kian Ming dan Zairil Khir Johari.

“Dalam PKR begitu juga, anak muda diberi peluang seperti Nik Nazmi Nik Ahmad dan Amirudin Shari diberi peluang sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco).

“Ini sepatutnya yang Umno ambil petunjuk dan pengajaran. Bezakan antara retorik dan kesediaan sebenar," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata landskap politik anak muda dalam DAP dan BN adalah dua pentas yang sangat berbeza.

Katanya, jumlah keahlian kedua-dua parti itu menunjukkan perbezaan ketara maka tidak hairanlah peluang anak muda lebih besar berada dalam DAP.

“Berbeza Umno dengan DAP, Umno satu parti keahliannya agak besar dan ia mempunyai sejarah yang panjang.

“DAP keahliannya tidak sama besar dengan Umno, jadi lebih banyak ruang untuk memegang jawatan tinggi dengan kadar segera.

“Untuk membezakan Umno dengan DAP dan cara ukuran kepimpinan, bukan perbandingan epal dengan epal," katanya.

Wan Saiful berkata meskipun begitu, ia tidak bermakna Umno menafikan peluang anak muda untuk memegang jawatan penting dalam parti itu.

Katanya, apa yang berbeza adalah pemimpin muda Umno perlu menunggu masa yang lebih lama untuk memegang sesuatu jawatan penting dalam Umno.

"Bila bercerita tentang parti, yang paling bagus kenaikan berdasarkan merit bukan berdasarkan jantina atau umur.

“Saya tidak rasa Umno selama ini tidak membenarkan orang muda masuk. Anak muda dalam Umno memang mengambil sedikit masa untuk naik dalam hierarki sedia ada. Ini cabaran biasa yang dihadapi bagi parti yang berfungsi sebegitu lama.

“Jika betul Umno mahu diremajakan, perlu ada program fast track orang muda untuk pegang jawatan yang lebih signifikan dengan lebih cepat," katanya. – 2 Disember, 2014.


Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tanpa-wang-pemimpin-muda-tiada-tempat-dalam-umno-kata-penganalisis#sthash.VBLEvVk9.dpuf


1 comments :

...



Cara menukar blogspot.com kepada domain.com
http://domain.blogspot.com >> http://www.domain.com
• Hanya RM30 Setahun..
• Boleh edit terus dari blogspot tanpa menukar atau berubah apa pun..

http://www.netkl.com
http://www.netkl.com
http://www.netkl.com

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.