Tuesday, December 9, 2014

Pemerkasaan Sekolah Kebangsaan Dapat Atasi Masalah Perpaduan - Tan Sri Rais

pilihanraya kini     10:47 AM    



Isu perkauman di negara ini boleh diatasi jika sekolah-sekolah kebangsaan dapat diperkasakan sehingga menjadi pilihan kaum bukan Melayu.

Penasihat Kerajaan bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, jika sekolah kebangsaan itu menjadi pilihan semua kaum sudah pasti generasi sedia ada dan akan datang dapat bercampur gaul secara harmoni dan mempelajari budaya dan sejarah masing-masing dengan lebih aman.

"Selama ini ramai (kaum bukan Melayu) yang pergi ke Sekolah Kebangsaan, tetapi grednya makin menurun semenjak tempoh 20 tahun kebelakangan ini. Jadi orang Cina keluar cari alternatif.

Sekarang harus kita hebatkan balik Sekolah Kebangsaan, sediakan subjek bahasa Cina dan Tamil berserta dengan guru yang terbaik," katanya kepada sidang media selepas melancarkan buku 'Sumbangan Keturunan Tionghua Malaysia Dan Singapura Terhadap Bahasa Dan Sastera Melayu, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini pada Isnin.

Buku itu merupakan nukilan pengasas Pusat Kebudayaan Han Malaysia iaitu Datuk Goh Hin San, dan dalamnya terkandung fakta-fakta sejarah mengenai usaha penulis Tionghua dari Malaysia dan Singapura dalam memartabatkan bahasa Melayu pada zaman dahulu.

Mengulas mengenai buku itu, Rais berkata, ia merupakan satu inisiatif bagi membuktikan kaum Tionghua juga mempunyai sumbangan yang signifikan dalam memajukan dan mengembangkan lagi penggunaan Bahasa Melayu dalam negara ini.

Katanya, Jawatan Kuasa Induk Bahasa Kebangsaan disaran untuk mengenal pasti dan menyerap tokoh-tokoh penulisan Bahasa Melayu dari kaum Tionghua dan India ke dalam jawatan kuasa itu agar pengalaman dan pengetahuan mereka dapat dimanfaatkan untuk kemajuan Bahasa Melayu.

"Jika bahasa kebangsaan hendak mencapai tahap kemajuan yang lebih meluas dan disertai oleh pihak yang seharusnya menyertai, maka penglibatan pelbagai kaum dalam jawatan kuasa induk itu harus terwakil kaum-kaum seperti Tionghua dan India serta lain lain.

"Mereka boleh jadi jambatan kita untuk promosi program-program berkaitan di kalangan kaum Tionghua dan India. Masa sudah berlalu bagi kita untuk bekerja dalam silo atau petak. Mereka mesti dilibatkan dan (kalau ini berlaku), saya yakin ia akan berjaya," katanya lagi.

Dalam majlis itu, Rais turut mengumumkan perlantikan Goh sebagai ketua penyelidikan sejarah dan sumbangan pelayar rahib Buddha bernama I-Tsing dalam mengembangkan lagi Bahasa Melayu di rantau Nusantara sekitar abad ke-7 dahulu.

"Mengikut sejarah, I-Tsing pernah menjelajah ke rantau Nanyang pada abad ke-7. Jadi apa sebenarnya tujuan beliau ke sini? Apakah beliau seorang perintis perjalanan Sutera Laut China dan pelopor pertukaran kebudayaan Malaysia-China yang lebih awal dari Laksamana Cheng Ho?" kata Goh.

Beliau berkata, proses penyelidikan ini dijangka bermula Januari depan, dan akan mengambil masa setahun sebelum hasilnya dibentangkan.

Sumber : Bernama 



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.