Thursday, December 11, 2014

Penduduk Luar Bandar Pasti Tidak Tertinggal! - Datuk J

pilihanraya kini     12:11 PM    


Penduduk luar bandar dan pedalaman di Malaysia tidak pernah diabaikan atau dipinggirkan daripada mendapat akses lebih baik bagi kemudahan komunikasi, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai program Penyediaan Perkhidmatan Sejagat bagi memastikan masyarakat luar bandar mendapat akses kepada Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menerusi pusat komuniti, sekolah, perpustakaan desa dan klinik.

"Ini merupakan usaha kami untuk merapatkan jurang digital serta meningkatkan penggunaan ICT dan kadar penembusan jalur lebar," katanya.

Jailani berkata demikian dalam ucapannya pada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa(ITU) Telecom Dunia 2014 bertema 'Strategi Bagi Masyarakat Lebih Pintar' di Doha, Qatar, Selasa.

Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama di sini pada Rabu.

Jailani memberikan contoh tentang kisah kejayaan seorang pengusaha rumpai laut Bernama Kabilah Hassan yang memanfaatkan ICT apabila berjaya meningkatkan pendapatannya daripada USD57 sebulan kepada USD5,700 sebulan selepas memasarkan produknya secara dalam talian.

Ini adalah antara contoh kejayaan yang telah meletakkan Malaysia dalam laporan ITU bagi "Measuring the Information Society 2013' (Ukuran Masyarakat Bermaklumat 2013), dengan Malaysia menduduki nombor empat dalam bidang digital, katanya.

Jailani mengambil perhatian bahawa usaha kerajaan Malaysia dalam bidang ICT telah berjaya meningkatkan kadar penembusan jalur lebar daripada 24 peratus pada 2009 kepada lebih 67 peratus pada 2014.

Beliau berkata walaupun Internet turut membawa unsur negatif namun manfaat yang dapat diperoleh daripada kemudahan itu jauh mengatasi keburukannya.

Oleh itu, katanya masyarakat perlu bijak mengseimbangkan antara kecanggihan pengetahuan teknologi dengan tanggungjawab apabila menggunakan Internet.

Dalam pada itu, katanya statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan 72 peratus daripada 18.6 juta pengguna Internet di Malaysia adalah golongan berusia antara tujuh hingga 35 tahun.

Jailani berkata SKMM juga melaporkan bahawa berdasarkan kajian dilakukan terhadap 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi, 600 daripada mereka menghabiskan banyak masa di laman sosial dan ketagihan itu boleh menjejaskan kesihatan mereka dan juga berdepan ancaman siber.

"Adalah penting bagi pengguna Internet mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa menggunakan kemudahan itu untuk menangani ancaman siber.

"Kerajaan (Malaysia) telah memperkenalkan program khas dikenali Klik Dengan Bijak untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang penggunaan Internet secara selamat dan positif," katanya.

-- BERNAMA


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.