Tuesday, December 23, 2014

PT3- Satu Permulaan

pilihanraya kini     9:29 AM    


Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berharap pihak sekolah tidak menyalahkan perubahan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sekiranya keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan hari ini tidak seperti yang dijangkakan.
Presidennya, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, percubaan pertama oleh kementerian itu perlu dipandang secara positif dan dapat menerima apa sahaja keputusan PT3 yang diperoleh dengan hati yang terbuka.
Katanya,keputusan tersebut seharusnya tidak membebankan pelajar dan guru malah, perlu dijadikan iktibar serta mengambil tindakan bersama bagi menangani kemerosotan akademik para pelajar.
“Kementerian juga perlu mengkaji semula bagi memastikan PT3 ini berjaya dilaksanakan seiring dengan tujuan asalnya iaitu untuk mencungkil bakat-bakat yang terpendam dalam kalangan pelajar di samping mendapat bimbingan daripada pihak sekolah.
“Penilaian baharu untuk tingkatan tiga tersebut dilihat dapat mengenal pasti dan memberi peluang kepada pelajar yang tercorot dalam akademik tetapi mempunyai kebolehan dalam bidang vokasional untuk mencapai kejayaannya yang tersendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan penambahbaikan PBS iaitu memperkenalkan ujian PT3 mulai tahun ini.
Menerusi pelaksanaan tersebut, tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar tingkatan 3 dan PT3 akan dilaksanakan di peringkat sekolah.
Tambah Mohamad Ali, dunia zaman sekarang yang semakin meningkat maju bukan sahaja tertumpu kepada ahli akademik semata-mata tetapi juga memerlukan kemahiran dalam bidang teknikal.
Apabila ditanya mengenai ketelusan dalam memeriksa kertas peperiksaan memandangkan ia hanya melibatkan khidmat guru dari sekolah tersebut, Mohamad Ali berkata, semua guru yang terlibat dengan PT3 perlu bersikap profesional dan menjaga etika sebagai seorang pendidik.
“Saya tidak menafikan bahawa perkara tersebut boleh mendorong guru-guru untuk memberi markah yang tinggi kepada pelajarnya bagi menjaga serta meningkatkan prestasi sekolah.
“Oleh sebab itu, tenaga pengajar yang terlibat dalam penilaian PT3 ini perlu diberi latihan dan kursus bagi memastikan sikap pilih kasih tidak timbul ketika menjalankan tugas,” katanya.

Utusan

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.