Thursday, December 4, 2014

"Saya Redha" - Syafika

pilihanraya kini     10:03 AM    



Walaupun sukar menerima hakikat apabila melihat wajahnya kini mempunyai parut kekal, namun Nur Syafiqa Lah tetap reda menempuh dugaan tersebut

Malah gadis berusia 22 tahun itu tetap bersyukur apabila tindakan nekadnya melawan penjenayah terbabit berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa rogol.

Sambil mengakui menderita dengan situasi yang menimpa, Nur Syafiqa berkata, demi menjaga kehormatan diri, dia terpaksa melawan penjenayah terbabit.

“Betapa sakit dan deritanya saya ketika itu apabila muka ditoreh dengan pisau oleh penjenayah itu. Muka saya ketika itu berlumuran darah.

“Bagaimanapun, kesakitan yang saya tempuh itu demi mempertahan maruah serta kesucian diri. Saya bersyukur kerana masih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di kediamannya di Kampung Wakaf Berangan, Sri Aman di sini hari ini.

Dalam kunjungan tersebut, Mas Ermieyati turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada mangsa selain memberi sokongan moral kepada gadis berkenaan.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang gadis menempuh pengalaman ngeri apabila mukanya ditumbuk dan ditoreh dengan sebilah pisau oleh seorang daripada dua penjenayah ketika cuba melawan suspek yang menceroboh rumahnya di Kampung Wakaf Berangan di sini.

Tambah Nur Syafiqa, keadaan wajah dan jari kiri serta kanannya masih berjahit dan kini dia fokus dengan mendapat rawatan susulan.

“Kejadian yang berlaku ini adalah detik hitam dalam hidup saya. Sehingga hari saya masih lagi trauma dan terbayang-terbayang saat-saat ketika berhadapan de-ngan penjenayah itu.

“Sukar untuk saya lupakan. Ia menjadi igauan ngeri dalam hidup saya. Pada masa ini saya perlu ketenangan dan ingin memulihkan kembali semangat,” katanya.

Sementara itu, Nur Syafiqa turut berharap penjenayah terbabit ditangkap dan dibawa segera ke muka pengadilan.

Katanya, hukuman berat perlu dikenakan kepada penjenayah terbabit sebelum wanita lain menjadi mangsa selepas ini.

“Saya minta suspek itu ditangkap segera oleh pihak polis. Hukuman yang berat perlu dikenakan sebagai pengadilan di atas kekejaman yang dilakukan terhadap saya dan ibu.” katanya.

Dalam pada itu, Nur Syafiqa mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak yang telah tampil memberikan sokongan dan bantuan termasuk kesediaan pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang mahu menyediakan pakar pembedahan plastik bagi membantunya.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Puteri UMNO yang sanggup menyediakan sesi kaunseling dan HUSM pula menyediakan pakar rekonstruktif bagi membantu memulihkan muka saya,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/nur-syafiqa-reda-1.32405#sthash.Dg7HZegf.dpuf

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.