Wednesday, December 10, 2014

SIAPA JOE BIDEN? - TUN M

pilihanraya kini     2:49 PM    



1. Amerika Syarikat menganggap bahawa mereka adalah demokrasi yang terhebat di dunia dan berada dalam kedudukan yang benar untuk memberitahu pihak lain apa yang betul dan apa yang salah serta apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak patut dilakukan. Joe Biden, Naib Presiden Amerika Syarikat mengecam Malaysia yang mengekalkan Akta Hasutan dan mengecam Malaysia dalam isu perbicaraan kes Anwar Ibrahim.

2. Siapa Joe Biden yang berasa layak untuk mengkritik?

3. Sebagai Naib Presiden sebuah negara yang menahan orang tanpa perbicaraan untuk lebih daripada satu dekad, mendera mereka semasa dalam tahanan; negara di mana penyeksaan adalah undang-undang, negara yang tidak ragu-ragu menyerang negara-negara lain, membunuh berjuta-juta orang yang tidak bersalah, memusnahkan bandar-bandar dan kampung-kampung, meninggalkan kawasan tersebut tanpa bekalan elektrik, bekalan air dan sistem pembetungan; apakah hak Biden untuk mengecam undang-undang bagi mengelakkan sebarang konflik dan permasalahan kaum di Malaysia?

4. Hari ini Amerika Syarikat terlibat dalam pembunuhan pihak yang menentang Amerika. Malaysia sebelum ini memang menahan seseorang tanpa bicara, tetapi Amerika Syarikat mengenakan hukuman mati tanpa bicara dan tanpa pengetahuan mangsa. Kemudian drones dihantar untuk membunuh mangsa Amerika Syarikat yang telah pun ditetapkan. Penghakiman dan hukuman mati tidak dibuat dalam mahkamah undang-undang. Penghakiman dan hukuman dibuat oleh pegawai-pegawai sendiri. Orang-orang ini melantik diri mereka sendiri sebagai hakim, pendakwa dan algojo. Inilah KEADILAN yang diamalkan oleh Amerika.

5. Dan Amerika berani mendakwa bahawa mereka melakukan semua ini untuk melindungi demokrasi. Adakah demokrasi untuk orang yang tidak bersalah yang telah terbunuh, terluka dan cacat seumur hidup? Ke mana sahaja Amerika pergi, akan ada kematian dan kemusnahan.

6. Di Amerika Syarikat sendiri tidak ada keadilan. Dalam ruang yang singkat polis menembak dan membunuh tiga orang warga kulit hitam. Para juri kemudian mengatakan bahawa tidak ada kes yang perlu dibuka untuk para polis tersebut.

7. Dengan bongkak seorang pegawai berkulit putih berkata bahawa warga kulit hitam tersebut telah dibunuh kerana mereka melawan pihak polis dalam usaha penangkapan. Saya melihat sendiri gambar warga hitam tersebut mengangkat kedua-dua tangan mereka tanda mengalah. Adakah ini maksud mereka sebagai melawan? Remaja warga hitam tersebut tidak mempunyai senjata tetapi telah ditembak mati. Seorang budak lelaki berumur 12 tahun yang hanya mempunyai pistol mainan, juga telah ditembak mati.

8. Kemudian sudah tentu terdapat kecaman terhadap tindakan undang-undang yang diambil terhadap calon Perdana Menteri Malaysia kesukaan Amerika. Mahkamah Malaysia telah terlalu melembut, mengambil masa lebih daripada lima tahun, mendengar rayuan selepas rayuan dengan hampir 30 penangguhan. Di Amerika, hakim memutuskan untuk tidak mendakwa dan penjenayah sepatutnya dibebaskan. Di mana proses yang sewajarnya?

9. Amerika adalah tanah yang dicuri dari orang Red Indian melalui pembunuhan beramai-ramai. Amerika seharusnya berasa malu buat selama-lamanya atas tindakan mereka ini.

10. Janganlah asyik nak mencanang kepada orang ramai cara untuk bertindak dan apa yang tidak boleh lakukan. Ingatkan golongan anda, tentang bagaimana Amerika berjaya melalui perhambaan, melalui diskriminasi terhadap orang kulit hitam dan Hispanik, mengintip rakyat sendiri, media yang dikawal dan sebagainya. Itulah yang seharusnya Joe Biden lakukan.

Tun Dr. Mahathir Mohamad

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.