Tuesday, January 27, 2015

#Panas : Khalid Benci Karenah Azmin!

pilihanraya kini     4:33 PM    



Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa penggantinya Mohamed Azmin Ali seorang yang tidak profesional dan asyik berpolitik dalam menjalankan tanggungjawabnya, lapor Berita Harian hari ini.

Dakwaan bekas menteri besar Selangor itu dibuat ketika diminta mengulas tindakan pentadbiran Azmin mempertikaikan beberapa keputusan Khalid termasuk pembayaran gratuiti berjumlah RM2.6 juta kepada lapan bekas kakitangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan penamatan kontrak 22 kakitangan PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Apa pun, perkara ini (pemecatan kakitangan) boleh dibawa ke Mahkamah Industri. Perkara itu akan diadili. Ini bukan permainan politik, ini (tindakan) profesional.

"Saya fikir, ketelusan dan kebertanggungjawaban ialah satu tindakan profesional," katanya dipetik akhbar milik Umno itu.

Beliau turut mengulas nasib kakitangannya itu yang masih dalam perbincangan dengan peguam dan menegaskan, perkara paling utama yang perlu ditumpukan kerajaan negeri ialah isu pembangunan di Selangor.

"Yang ini, biarkan mahkamah tentukan. Saya menjalankan tugas sebagai menteri besar (ketika itu) supaya perkara pentadbiran itu dapat diselesaikan dengan mantap dan teratur dan mereka yang layak dibenarkan (mendapat pembayaran berkenaan).


"Oleh itu, biar mahkamah tentukan kesahihan dan juga perkara yang dilakukan MBI dan juga eksekutif MBI yang terbabit," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Azmin yang menyatakan seakan berlaku salah laku dalam isu pembayaran gratuiti itu, Khalid menegaskan apa yang dilakukannya adalah telus dan terbuka.


"Yang dipersoalkan ialah sama ada orang itu (lapan bekas kakitangan) mempunyai hak atau sebaliknya, bukan mencuri duit.

"Kalau menteri besar ambil duit daripada pemaju untuk kegunaan sendiri, itu salah. Tapi ini untuk pekerja, jadi tiada masalah," kata beliau.

Awal Januari lalu, Azmin mengarahkan lapan bekas pembantu Khalid yang juga kakitangan MBI memulangkan wang gratuiti berjumlah RM2.6 juta.

Beliau berkata, siasatan pengurusan MBI mendapati pampasan menerusi Skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) tidak dibuat mengikut terma dan syarat serta melanggar tatacara peraturan kewangan. – 26 Januari, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khalid-dakwa-azmin-asyik-berpolitik-tak-profesional#sthash.cIWkqZlu.dpuf



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.