Wednesday, January 7, 2015

PAS & UMNO : Dimanakah Pengakhirannya? #Banjir

pilihanraya kini     12:30 PM    


Kejadian bencana banjir yang melanda di beberapa buah negeri baru-baru ini pastinya meninggalkan kesan yang mendalam buat mangsa-mangsa yang terlibat. Pastinya sebahagian besar daripada mereka masih lagi trauma dengan malapetaka tersebut.
Namun begitu, masih wujud lagi pihak-pihak yang dilihat cenderung untuk ‘menangguk di air yang keruh’. Ibarat sudah menjadi ‘trend’ di negara ini iaitu apabila berlakunya sesuatu musibah, pastinya akan ada pihak-pihak tertentu yang menjadikan ia sebagai platform untuk menonjolkan diri atau kumpulannya.
Usaha-usaha yang sedang giat dijalankan ketika ini oleh pelbagai agensi bagi membantu mangsa-mangsa selain membangunkan semula kawasan-kawasan yang terjejas ternyata ‘tidak sunyi’ bilamana turut mengiringinya adalah ‘cakap-cakap berbaur politik’.
Rancak diberitakan ketika ini di kebanyakan media samada arus perdana dan alternatif adalah mengenai gesaan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan ataupun lebih tepat lagi di antara Umno dan PAS bagi merancang pembangunan semula negeri ‘Cik Siti Wan Kembang’ itu selepas bencana banjir.
Memetik kenyataan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki seperti yang dilaporkan media, beliau menyarankan Umno dan PAS supaya mengambil langkah berani mengenepikan perbezaan politik bagi membentuk satu jawatankuasa bersama yang boleh dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau mana-mana menteri kanan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak semestinya melibatkan penggabungan antara Umno dengan PAS, seperti yang dibimbangi oleh sesetengah pihak dalam kedua-dua parti itu sendiri.
“Kewujudan dua entiti parti politik berbeza yang mewakili orang Melayu iaitu Umno dan PAS sememangnya sukar untuk digabungkan ketika ini, tetapi perbezaan itu tidak sewajarnya menjadi halangan kepada Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi Umno dan kerajaan negeri oleh PAS untuk duduk bersama-sama merancang pembangunan semula Kelantan selepas bencana banjir baru-baru ini,” beliau dipetik sebagai berkata.
Setelah meneliti kenyataan tersebut, penulis mempersoalkan sejauhmana keikhlasan parti yang memperjuangkan Islam itu mahu bekerjasama dengan Umno, seteru paling ketat mereka.
Pada pandangan penulis, ‘pelawaan’ yang dibuat PAS kepada Umno itu secara tidak langsung sebenarnya menunjukkan ketidakupayaan parti tersebut menghadapi bencana yang menimpa negeri tadbiran mereka. Ataupun dalam erti kata lain, mereka sebenarnya secara tersirat meminta pertolongan daripada musuh yang selalu mereka doakan agar ditimpa musibah dan bala.
Pelawaan yang dibuat itu pula pada penulis tidak lebih dari sekadar untuk menyorokkan kelemahan mereka dan secara tidak langsung adalah cubaan untuk menaikkan imej mereka di mata rakyat negeri Kelantan seolah-olah mereka benar-benar tulus dan ikhlas demi kepentingan rakyat.
Selain itu penulis turut tertanya-tanya sekiranya hasrat kerjasama tersebut menjadi realiti, adakah ia bererti tamatnya persengketaan di antara dua parti majoriti Melayu itu? Mungkinkah ia akan menjadi perintis kepada usahasama yang lebih besar lagi di antara kedua-duanya dalam masa terdekat? Mungkinkah hasrat sesetengah pihak untuk melihat kedua-dua parti tersebut bergabung akan termakbul?
Apapun secara peribadi penulis tidak merasakan yang PAS benar-benar ikhlas menjalinkan kerjasama dengan Umno ataupun Barisan Nasional (BN) dalam apa juga isu sekalipun. Rekod kerjasama yang dijalinkan sebelum ini jelas menunjukkan parti yang bertunjangkan Islam itu lebih mengutamakan publisiti murahan daripada melaksanakan tanggungjawab mereka.
Selain itu janggal juga rasanya jika setelah kerjasama dijalinkan di antara kedua-dua parti tersebut, tetapi selepas itu apabila menjelang pilihanraya, berkumandang pula doa ‘Umno KO..KO Umno’ di ceramah-ceramah politik PAS.
Maklumlah, mendoakan kebinasaan sesama muslim ini bukanlah sesuatu yang asing untuk para pimpinan PAS. Mungkin bencana yang menimpa negeri tadbiran mereka itu boleh dijadikan pengajaran buat mereka untuk melakukan sedikit ‘suntingan’ pada doa-doa mereka di masa hadapan.
Akhir sekali, hayatilah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak-anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab”. (Hadis Riwayat Abu Daud)
Serta sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Dari Abu Hurairah berkata bersabda Rasulullah SAW : “Apabila seseorang berkata : ‘Binasalah manusia’, maka dialah yang akan binasa.” (Hadis Riwayat Muslim)
Oleh: Aidil Syukri

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.