Thursday, January 8, 2015

UMNO dan PAS, Setiap Yang Berlaku Pasti Ada Hikmahnya! #Banjir

pilihanraya kini     11:28 AM    


Kuasa rakyat tentukan penyatuan UMNO dan PAS di Kelantan






Penyatuan UMNO dan PAS dalam kerajaan campuran yang dicadangkan di Kelantan selepas banjir besar melanda negeri itu hanya akan terlaksana jika rakyat Kelantan sendiri mahukannya.
Rata-rata penduduk yang terpaksa memulakan hidup baru selepas banjir, boleh mendesak pemimpin mereka untuk melupakan sengketa politik dan bersatu membangunkan negeri, ujar seorang pemimpin Pemuda PAS kepada Agendadaily.
Beliau yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, PAS sebagai parti politik yang berteraskan Islam akan mendengar pandangan akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan samada mahu atau tidak membentuk kerajaan campuran.
"Ahli yang menentukan, parti akan ikut suara ahli, manakala ahli pulak ikut suara rakyat..." katanya mengulas cadangan tokoh korporat anak Kelantan Datuk Husamuddin Yaakob yang mahu melihat kedua-dua parti itu bergabung.
Cadangan kerajaan campuran dibuat bagi mengurangkan 'politiking' merebut sokongan ketika tenaga semua pihak diperlukan untuk membangun semula Kelantan.


Ketika ditanya pendirian peribadi beliau, pemimpin muda PAS itu berkata, beliau sokong kerajaan campuran di Kelantan dengan syarat perikatan antara PAS dan BN adalah perikatan longgar.
"Masalah PAS adalah jika ia bergabung dengan UMNO di Kelantan, ia perlu bergabung dengan UMNO di seluruh negara, dan jika itu berlaku, PAS akan hilang sokongan pengundi bukan Melayu pembangkang dan hanya akan menjadi parti di kawasan Malay heartland sahaja.
"Apa formulanya nanti, PAS tidak mahu sertai BN, mungkin boleh dibuat kerajaan BN plus PAS, tapi PAS hanya akan menyertai pentadbiran di kawasan Pantai Timur dan Utara Malaysia sahaja... ini merugikan PAS," tambah beliau.
Bagaimanapun, beliau amat setuju supaya PAS dan UMNO mengurangkan 'ketajaman perselisihan' antara dua parti terbesar Melayu itu.

"Kita perlu langkah demi langkah... mungkin yang terbaik pada peringkat ini adalah mengurangkan kenyataan-kenyataan pedas dan tajam antara kedua-dua parti," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberitahu Utusan, PAS dan UMNO telah membuktikan kesediaan untuk mengetepikan agenda politik masing-masing demi membantu rakyat Kelantan.

Menurutnya kerjasama dua parti politik itu telah terjalin melalui penubuhan Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan pada 26 Disember lalu.
AJK PAS Pusat itu memberitahu, inisiatif itu selaras dengan hasrat rakyat yang mahu melihat UMNO dan PAS berganding bahu dalam menyelesaikan masalah banjir di Kelantan.
“Saya melihat politik itu isu kecil malah saya percaya, rakyat sama ada di seluruh negara dan Kelantan bersetuju isu banjir melangkaui sempadan politik.
“Kita di peringkat parti juga sedang cuba mencari jalan untuk mempertingkatkan kerjasama antara dua pihak,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki mencadangkan UMNO dan PAS mengambil langkah berani mengetepikan perbezaan politik bagi membentuk jawatankuasa bersama antara Kerajaan Persekutuan serta kerajaan Pas Kelantan bagi merancang pemba­ngunan semula negeri itu selepas banjir.
Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Fauzi Mamat dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dilantik sebagai timbalannya.
Nik Mohamad Abduh berpandangan, kerjasama yang ditunjukkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan PAS Kelantan menerusi jawatankuasa tersebut adalah memuaskan.
“Cuma, kita berharap pelaksanaan di peringkat akar umbi dapat diperkemaskan agar isu-isu kecil yang pernah berbangkit sebelum ini tidak berulang,” ujarnya.


Beliau turut meminta semua pihak agar tidak saling menuding jari termasuk menggunakan media sosial untuk menyalahkan antara satu sama lain tentang punca banjir besar yang melanda Kelantan.
“Kita tidak mahu membangkitkan tentang perkara itu kerana tumpuan utama kita pada masa ini adalah untuk membantu mangsa banjir,” jelasnya.
Dalam pada itu, bagi bekas Setiausaha Kerja UMNO Kelantan, Datuk Nik Mahidin Nik Mustapha beliau menyuarakan pandangan peribadi mahukan penyatuan sebagaimana disuarakan oleh Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub baru-baru ini.
Bagaimanapun, Nik Mahidin berkata, dalam tempoh sekarang ini semua dapat menilai sejauh mana pemimpin antara kedua-dua parti boleh menerima cadangan terbabit dan peluang untuk merealisasikan demi kebaikan bersama.
“Budaya politik di Kelantan ini unik, 24 jam berpolitik sama ada dari soal agama, arahan mengagihkan bekalan kepada mangsa banjir dan segala-galanya lebih kepada parti,” katanya dalam satu temubual yang disiarkan Sinar Harian Selasa.
Beliau tidak menyalahkan rakyat yang terlalu berpegang pada satu-satu parti politik tetapi baginya rakyatlah yang menjadi penentu kepada masa depan negeri ini.
Nik Mahidin yang juga Pengerusi Pertubuhan Bekas Ahli 4B  Negeri Kelantan bagaimanapun mengakui laluan untuk perpaduan itu agak sukar sekiranya PAS masih mengangkat individu-individu dalam parti yang dilihat menentang idea itu

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.