Tuesday, February 17, 2015

#HANGAT !! : Palanivel Berdegil?? Tolak Umno Campur Tangan??

pilihanraya kini     11:55 AM    



Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel tidak bersetuju dengan cadangan Barisan Nasional (BN) menubuhkan Sekretariat bagi membantu menyelesaikan kemelut dalam parti itu.

Palanivel dalam satu kenyataan, Isnin, berkata cadangan seperti yang diumumkan oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor adalah amat membimbangkan.

Tengku Adnan memberitahu sidang media di Putrajaya awal Isnin bahawa penubuhan sekretariat khas ditadbir urus oleh BN dicadangkan untuk membantu MIC menjalankan pembersihan dalam bahagian dan cawangan serta mengadakan pemilihan semula parti.

"Ini tidak boleh diterima sama sekali. BN tidak mempunyai bidang kuasa walau apapun untuk mengambil alih pentadbiran atau menjalankan pemilihan parti kerana bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan MIC dan Akta Pertubuhan, 1966," kata Palanivel.

"Walaupun MIC ialah parti komponen BN, MIC masih sebuah parti politik mengikut haknya sendiri dan tertakluk di bawah Perlembagaan parti. Barisan Nasional perlu menghormati perlembagaan MIC dan tidak menceroboh urusan pentadbiran MIC," katanya.

Dalam kenyataannya itu Palanivel berkata beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri dan pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin, kerana terpaksa menghantar isterinya ke hospital.

Beliau berkata bahawa walaupun beliau telah memaklumkan situasi itu kepada Najib, wakilnya, (naib presiden MIC) Datuk S. Sothinathan tidak dibenarkan untuk menghadiri mesyuarat.

"Saya, sebagai Presiden MIC, tidak bersedia untuk membenarkan pihak ketiga (Barisan Nasional) mengendalikan parti kami," katanya.

Beliau berkata ada perlembagaan parti dan undang-undang kecil berkaitan untuk mentadbir parti dan apa-apa tindakan yang dicadangkan dianggap sebagai menyalahi undang-undang, tidak sah dan terbatal.

Palanivel berkata keseluruhan situasi adalah seperi sandiwara jika Tan Sri K. Kumaran, yang menjadi pegawai pengurus Jawatankuasa Pemilihan 2013, dibawa kembali ke dalam situasi parti masa kini.

Beliau berkata Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak boleh mempertikai kuasanya sebagai presiden MIC yang dipilih, kerana kuasanya termaktub dalam perlembagaan parti dan boleh tidak diambil oleh sesiapa sahaja, termasuk ROS.

Palanivel berkata beliau telah mengarahkan peguam untuk memfailkan kertas-kertas yang perlu di mahkamah untuk mencabar keputusan dan tindakan ROS (itu), walaupun tempoh bagi ROS menarik balik semua arahan berakhir esok (Selasa).

Sementara itu, timbalan presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, dalam satu kenyataan berasingan, menafikan bahawa ada persetujuan untuk membenarkan BN mentadbir urus MIC secara keseluruhan seperti apa yang beliau sifatkan sebagai kenyataan setiausaha agung BN yang mengelirukan.

Ketika memperincikan apa yang berlaku semasa mesyuarat dengan pengerusi dan setiausaha agung BN pagi Isnin, Dr Subramaniam berkata, mesyuarat mengesahkan bahawa parti menyelesaikan isu mengikut arahan ROS.

"Tiga puluh dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 yang dipilih harus membentuk CWC sementara untuk memudahkan penjalanan pemilihan semula, dan tidak ada anggota yang dicalonkan akan dimasukkan ke dalam CWC sementara mengikut Surat ROS," katanya.

Dr Subramaniam menjelaskan bahawa dalam hal-hal pertikaian, sekretariat BN akan bertindak sebagai fasilitator, termasuk memastikan bahawa surat mesyuarat dihantar kepada semua 32 anggota CWC.

"Sebagai seorang daripada pemimpin MIC, saya ingin menegaskan walaupun kita menghadapi masa yang sukar, kita tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan maruah parti," katanya.

Sumber :

Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.