Tuesday, March 24, 2015

Kisah Lee Kuan Yew, Singapura – Malaysia : Dalam Jasa Terpalit Luka

pilihanraya kini     11:59 AM    




TAKZIAH diucapkan kepada rakyat Singapura berikutan kematian bekas Perdana Menteri pertama republik itu Lee Kuan Yew semalam, pada pukul 3.18 pagi.
Sebelum itu beliau telah dimasukkan ke hospital  pada 5 Februari lalu kerana radang paru-paru yang amat serius.
Betapa besarnya jasa Kuan Yew kepada rakyat Singapura namun jangan dilupa pula kesan sejarah “hitam” yang ditinggalkan beliau ketika Singapura pernah menjadi sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963.

MENARIK – Legasi Lee Kuan Yew Tetap Terpelihara Dalam Sejarah Singapura

Pada 1961, Perdana Menteri Tanah Melayu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mencadangkan pembentukan sebuah persekutuan yang akan termasuk Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai Malaysia.

Sejak Malaysia terbentuk pada tahun 16 September 1963, pada peringkat awal semuanya berjalan lancar namun Lee Kuan Yew mempunyai muslihat yang tersendiri.

Menjelang tahun 1964, Mendiang Kuan Yew mula melahirkan rasa tidak puas hati dengan hak orang Melayu dan mencadangkan konsep Malaysian-Malaysia. Perkara yang sama sedang dibawa oleh DAP.

Padahal sebelum itu, beliau turut berkempen untuk Malaysia bersama Singapura dan menamatkan pemerintahan British.

Pada masa itu, Kerajaan Pusat dipimpin oleh UMNO sudah mula bimbang dengan kemasukan Singapura yang majoriti penduduknya berbangsa Cina serta cabaran politik dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diasaskan Kuan Yew.
Ketika itu, beliau secara terbuka menentang dasar Bumiputera dan melaungkan slogan “Malaysian Malaysia”.

Slogan itu secara jelas mesejnya menentang dominasi dan dasar berkaitan bangsa Melayu sehingga menyebabkan hubungan PAP-UMNO semakin tegang.
Ketika itu, ada desakan dari pemimpin UMNO mahu Kuan Yew ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sejarah hitam, pada 21 Julai 1964 satu rusuhan kaum berlaku di Kallang Gasworks menyebabkan 23 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera.
Puncanya dikatakan apabila sebiji botol dibaling ketika berlangsungnya perarakan Maulidur Rasul. Lebih banyak rusuhan meletus selepas itu pada September 1964 di mana perusuh merampas kereta dan kedai serta memaksa Tunku Abdul Rahman dan Kuan Yew ketika itu turun padang dan menenangkan keadaan.

Pada saat itulah, Tunku Abdul Rahman membuat keputusan mengeluarkan Singapura dari Malaysia yang dibuatnya ketika beliau dirawat di London.
Mendiang Kuan Yew dikatakan cuba berkeras untuk dan cuba untuk kompromi tetapi tidak BERJAYA dan satu perjanjian pemisahan ditandatangani oleh Kuan Yew pada 7 Ogos 1965.

Ketika itu pemisahan Singapura dari Malaysia berlaku tetapi kedua-duanya bersetuju meneruskan kerjasama perdagangan dan pertahanan.
Untuk rekod, sebab lain membawa kepada perpecahan Singapura dan Malaysia ialah apabila Kuan Yew menubuhkan cawangan PAP di Semenanjung Tanah Melayu.

Kini Singapura ditadbir oleh anak Kuan Yew, iaitu Lee Hsien Loong walaupun  Kuan Yew sudah meninggal dunia.
Kerjasama dan hubungan antara Malaysia dan Singapura terus erat atas dasar persahabatan dan hubungan sesama negara dalam ASEAN walaupun ada luka yang tidak mungkin sembuh.

PRU14.tv

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.