Monday, March 16, 2015

#Wawasan2020 : Jangan 'bertuhankan' Bahasa Inggeris Semata - Nik Safiah

pilihanraya kini     12:32 PM    



Wawasan 2020 yang diilhamkan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1991 merupakan misi negara mencapai kecemerlangan dalam bidang ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan psikologi.

Selain itu ia turut menitikberatkan soal perpaduan nasional, sosial yang melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta keyakinan.

Kurang lebih lima tahun lagi sebelum Wawasan 2020, impian Dr Mahathir pada waktu itu yang mahukan melihat negara menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun gemilang negara dilihat masih belum tercapai.

Sembilan cabaran strategik yang digariskan kini berada di landasan akhir sebelum melihat kejayaannya dalam menghasilkan pembangunan seimbang tanpa mengetepikan prinsip asas Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Kerana itu, budayawan dan tokoh sejarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim menjelaskan, impian itu masih menjadi bayangan tidak pasti jika budaya masyarakat masih mengagungkan Bahasa Inggeris dalam kehidupan sehari-hari.

"Kita tidak dapat nafikan perubahan masyarakat dalam tiga empat tahun kebelakangan ini, namun saya lihat perubahan itu kadang-kadang merosakkan.

"Selain bersifat kebendaan, masyarakat kita semakin hilang nilai kerohanian, kita tertinggal di belakang sebenarnya," katanya ketika mengulas isu budaya dan bahasa masyrakat kini menjelang 2020.

Dr. Nik Safiah menjelaskan, kehgairahan masyarakat untuk mengagungkan Bahasa Melayu kini semakin menurun.

Tegasnya, masyarakat kini dilihat semakin 'bertuhankan' Bahasa Inggeris dalam pertuturan sehari-hari dan mula merasakan satu kelemahan jika bercakap di dalam Bahasa Melayu.

"Saya sebagai ahli bahasa merasakan keghairahan masyarakat untuk menggunakan Bahasa Melayu di dalam pertuturan sehari-hari semakin lama semakin hilang.

"Memang tidak dinafikan keperluan Bahasa Inggeris dalam dunia sekarang namun apa alasannya untuk kita mengorbankan Bahasa Melayu?" ujarnya.

Pengguna Bahasa Melayu kini melebihi 300 juta di seluruh dunia.

Bahasa Melayu juga merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas Bahasa Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Hindi.

Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka selain ada stesen radio dalam bahasa Melayu di China.

Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman dan New Zealand.

Hilang rasa sayang

Ujar Dr. Nik Safiah, masyarakat kini disifatkan sudah mula hilang rasa sayang kepada Bahasa Melayu.

"Kita tidak pandai menilai dan menyeimbangkan kenapa perlu mengejar Bahasa Inggeris dan tidak memupuk Bahasa Melayu ke tahap yang lebih indah.

"Masyarakat kita lebih mementingkan Bahasa Inggeris walaupun sebenarnya bahasa itu tidak boleh dikatakan terlalu indah," katanya.

Nasihatnya, Wawasan 2020 dapat direalisasikan dalam konteks kemajuan budaya dan bahasa jika masyarakat mempunyai rasa bangga terhadap Bahasa Melayu.

"Tidak salah untuk mengejar kemajuan cuma jangan ditinggalkan hak kita, jati diri kita.

"Biarlah orang kata kita terlampau bersikap kemelayuan, biar kita serap unsur berkenaan dalam seni muzik dan sebagainya dalam kehidupan sehari-hari," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, masyarakat negara ini harus melihat budaya negara jira seperti Indonesia yang lebih mengutamakan bahasa sendiri dalam urusan.

"Jauh bezanya kalau kita bandingkan cara rakyat Indonesia dalam mengaplikasi dan menyayangi bahasa mereka.

"Kita hilang rasa bangga, saya secara jujurnya sedih kerana rasa jati diri dan cintakana bahasa sendiri sudah semakin hilang," jelasnya.

Dr. Nik Safiah turut mengakui, dia perlu bersikap optimistik dan tidak mahu elemen Bahasa Melayu hilang dari budaya masyarakat negara ini menjelang 2020.

"Sayangnya, kita semakin lupa, kita mengagungkan Bahasa Inggeris lebih dari segala-galanya.

"Lihat sahaja dalam majlis perkahwinan atau majlis keraian, Bahasa Inggeris lebih banyak digunakan dan mereka hanya menyelit Bahasa Melayu dalam ucapan, ini sudah terbalik," katanya.

Bagaimanapun ujarnya, masih ada harapan untuk melihat Bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam masa lima tahun dari sekarang.

"Pihak sekolah perlu menitikberatkan Bahasa Inggeris di dalam kelas, ibu bapa juga perlu bertutur Bahasa Melayu di rumah.

"Saya risau sebenarnya, jika terlalu tekankan Bahasa Inggeris, takut-takut masyarakat akan terumbang-ambing dan kemungkinan terkeluar dari nilai-nilai murni masyarakat Melayu sendiri," jelasnya.

Salah satu daripada sembilan matlamat utama Wawasan 2020 adalah untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi.

Ia termasuk sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.


Sumber : Astro Awani


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.