Monday, April 13, 2015

Ahmad Sedia Cabar Hadi !

pilihanraya kini     2:21 PM    




Bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang sedia menimbangkan untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS selepas mendapat pencalonan yang cukup bagi jawatan itu.

Namun, beliau masih enggan membuat keputusan waktu ini kerana katanya masa masih panjang dan tidak perlu terburu-buru.

"Kita lihat juga berapa calon yang lain. Ini kerana, yang banyak mendapat pencalonan sekarang ialah Datuk Husam (Musa)," kata bekas pesuruhjaya PAS Perak itu.

Katanya, pencalonan yang banyak untuk melawan penyandang jawatan ini membayangkan kecenderungan ahli PAS membuat perubahan di pucuk pimpinan parti.

"Kita lihat kecenderungan hendakkan perubahan pucuk pimpinan sudah jelas," kata bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS itu kepada The Malaysian Insider.

Namun, bagi beliau, pemimpin yang perlu naik ialah yang lebih muda dan jelas dalam perjuangan dan bukan semestinya ulama.

Ahmad kini melepasi syarat minima dua pencalonan dengan pencalonan terbaru dari Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan Jelebu, Negeri Sembilan pada Sabtu, selepas mendapat yang pertama dari Parit Sulong sebelum ini.

Sebelum ini, Husam juga layak bertanding. Beliau kini mendapat pencalonan 8 kawasan dari seluruh negara. Semalam, beliau mendapat satu lagi pencalonan iaitu dari Tanjung Piai, Johor.

Menjelang muktamar ke-61 Jun ini, Hadi mendapat cabaran getir sejak hari pertama mesyuarat agung PAS kawasan-kawasan di seluruh negara apabila kawasan yang pertama mengadakan mesyuarat agung iaitu Kota Baru, Kelantan tidak mencalonkannya sebaliknya mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden.

Namun, Tuan Ibrahim menolak pencalonan itu menyebabkan pencalonan beliau kekal satu dan tidak berubah sehingga kini.

Sehingga kini, 22 kawasan mencalonkan Hadi mengekalkan jawatannya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mendapat paling banyak pencalonan untuk jawatan timbalan presiden sehingga kini dan mendahului penyandang jawatan itu Mohamad Sabu.

Beliau kini mendapat 21 pencalonan untuk jawatan itu manakala Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendapat 7 pencalonan.

Untuk jawatan naib presiden pula, nama yang popular sekarang ialah Salahudin Ayub, Datuk Seri Mahfuz Omar dan Idris Ahmad.

Turut mendapat pencalonan dari kawasan-kawasan ialah Tuan Ibrahim, Husam, Datuk Dr Mujahid Yusof (ahli Parlimen Parit Buntar), Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (timbalan MB Kelantan), Nasrudin Hassan (ahli Parlimen Temerloh), Datuk Iskandar Samad (exco Selangor), Dr Mariah Mahmud (ahli Parlimen Kota Raja), Mat Sabu dan Datuk Dr Mahfodz Mohamad (exco Johor).

Sementara itu, dalam mesyuarat agung semalam, dua penyandang jawatan kalah dalam pemilihan peringkat kawasan.

Menantu presiden PAS Zaharudin Mohamad mengalahkan bekas Yang Dipertua PAS Subang Mesni Dahlan.

Di Kampar, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dikalahkan Sufian Rejab untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kampar. 



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.