Tuesday, April 28, 2015

Azmin guna Wan Azizah jadi bahan uji kaji PKR #PRKPermatangPauh

pilihanraya kini     5:12 PM    



Mohamed Azmin Ali disifatkan menggunakan pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh sebagai medan uji kaji menilai tahap populariti Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di mata pengundi pada 7 Mei depan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Timbalan Presiden PKR itu kini dilihat memperjudikan keputusan PRK itu sebagai batu loncatan mencapai cita-cita peribadinya menjadi orang nombor satu di dalam parti.

"Ini semua helah Azmin, apa juga keputusan PRK Permatang Pauh akan menyebelahi Azmin. Azmin guna Wan Azizah untuk naik jadi orang nombor satu di dalam PRK.

"Kalau Wan Azizah kalah, ia kelebihan kepada Azmin. Jika majoriti berkurangan, ia juga 'peluru' untuk Azmin mempertikaikan populariti Wan Azizah. Pusing mana-mana pun, Azmin akan menang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Azmin sebelum ini dilaporkan menafikan dakwaan diaseorang pemimpin 'oportunis'dan 'populis' sepanjang tempoh mentadbir negeri itu.

Sebaliknya, Azmin menegaskan, semua keputusan yang dibuat adalah berdasarkan pertimbangan akan kesannya kepada rakyat.

Terbaru, Azmin dijangka akan mengadakan jamuan makan 'BBQ Lobster' bersama penduduk Permatang Pauh dalam minggu ini.

Jelas Azmin, jamuan itu sebagai mesej sindiran kepada kerajaan yang tidak mengenakan makanan laut itu di dalam cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Sebelum ini, beberapa portal melaporkan nama bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut disebut akan menjadi calon di Permatang Pauh.

Ketika ditanya apakah punca Saifuddin tidak menjadi calon PKR di Permatang Pauh, ini kata Irmohizam;

"Penduduk di Permatang Pauh sudah tidak mahu legasi keluarga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berterusan di sana. Jadi apabila nama Saifuddin disebut untuk menjadi calon, Azmin sebenarnya takut ia terjadi.

"Peluang besar kemenangan Saifuddin mungkin bakal menutup peluang Azmin menjadi presiden parti. Jadi apabila Wan Azizah menjadi calon, Azmin memang 'bersyukur' sangat."

Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan sebelum ini dilaporkan berkata pencalonan Wan Azizah merupakan bentuk 'deraan' parti kepada isteri Anwar yang dilihat gagal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang dipegangnya kini.

PRK Parlimen Permatang Pauh bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon bebas.

Selain Wan Azizah, calon lain ialah Suhaimi Sabudin, 44, daripada BN; calon bebas Salleh Isahak, 53; dan Azman Shah, 50 (Parti Rakyat Malaysia).

Berdasarkan laporan SPR, Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,820 pengundi berdaftar dengan 627 orang pengundi awal.

Parlimen ini dianggap sebagai kubu kuat PKR apabila menguasai kerusi itu sejak tahun 1982.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.