Friday, April 10, 2015

Beri peluang Najib Mentadbir : TPM #JawapanPM

pilihanraya kini     4:15 PM    


Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diberi peluang melaksanakan pentadbiran negara dengan caranya sendiri demi kepentingan rakyat, tegas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, tidak semestinya setiap perkara yang dibuat oleh kerajaan hari ini dipersetujui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagaimana tidak semua setuju dengan apa yang dilakukan semasa pentadbir­annya sebelum ini
.
“Ada pandangan berbeza, tetapi biarlah pimpinan kerajaan hari ini cuba laksanakan perkara yang kita fikir beri impak kepada pembangunan sosioekonomi rakyat menerusi pelbagai program,’’ katanya kepada pemberita pada hari terakhir lawatan tiga harinya ke Indonesia di sini hari ini.


Menurutnya, program transformasi, rasionalisasi subsidi, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya mempunyai impaknya tersendiri walaupun Dr. Mahathir tidak bersetuju mengenainya. Muhyiddin berkata, seperkara yang perlu diberi perhatian ialah Dr. Mahathir diketahui umum sebagai pemimpin yang mempunyai pandangan tersendiri dan masih berpengaruh serta ada pengikutnya.

“Sebab itu apabila beliau mencetuskan beberapa perkara dalam tulisan beliau, saya secara peribadi tidak memandang ringan. Ia ada impak dan kesannya. Kalau dia menyentuh mengenai urusan kerajaan, yang mana patut kita jelaskan, kita jelaskan,’’ katanya.

Bagaimanapun katanya, apabila Dr. Mahathir menyentuh kepemim­pinan Perdana Menteri, termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan hal yang berkaitan dengan Najib sendiri, ia perlu dijelaskan untuk kepentingan umum.

Sehubungan itu, Muhyiddin mencadangkan supaya diadakan pertemuan antara Dr. Mahathir dan Najib sebagai perbincangan antara anak dan bapa demi kebaikan bersama. “Saya setuju supaya Perdana Menteri menjelaskan (isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir) untuk pengetahuan awam supaya tidak ada salah anggapan dan salah fahaman tentang perkara-perkara tertentu. “Jumpalah Tun, kalau dah jumpa dahulu, mungkin perlu jumpa lagi, elok jumpa lagi sebagai bapa dan anak, saya percaya Tun Mahathir pasti akan menerima dan Datuk Seri Najib tidak akan berasa janggal,’’ ujarnya.

Menurut Muhyiddin, jika bersemuka dan saling memahami, Najib boleh bertanya dan berbincang secara ikhlas dan mungkin isu yang dibangkitkan itu tidak berterusan serta tidak menjadikan kerajaan dan pimpinan Najib dalam keadaan serba salah. “Saya menghormati kedua-dua pemimpin dan tidak mahu membuat kenyataan yang berat sebelah kerana apa yang lebih penting ialah rakyat mahukan kebenaran dan parti akan menghadapi pilihan raya.

“Kita kena berlaku adil kepada rakyat, menceritakan perkara sebenar. Kalau mereka dengar daripada pihak lain, timbul pelbagai cerita tetapi tidak boleh disahkan kesahihannya,’’ ujarnya. Beliau berkata, Kabinet pernah berbincang mengenai perkara itu dan berpendapat dalam hal yang menyentuh peribadi Perdana Menteri atau keluarganya, Najib lebih tahu daripada orang lain.

“Saya tidak fikir Tun (Mahathir) berniat tidak baik sebab dia kata dia ahli UMNO dan sebagai ahli UMNO dia berhak untuk bersuara dan kita tidak menyekat beliau bersuara, menulis sesuatu. “Kita hadapi masa mencabar, kita nak UMNO dan BN (Barisan Nasional) kuat, tak apalah pembangkang kuat tak kuat itu soal dia tetapi yang penting di peringkat UMNO, kita mesti bersatu sebab kita akan hadapi rakyat dalam pilihan raya akan datang,’’ katanya. Menurut Muhyiddin, sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau risau dengan apa yang berlaku dan berharap isu-isu berkenaan perlu diselesaikan segera supaya tidak berlarutan sehingga hampir pilihan raya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.