Thursday, April 30, 2015

BN Lancar Manifesto PRK Permatang Pauh Esok #PRKPermatangPauh

pilihanraya kini     2:26 AM    




Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh esok, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata manifesto itu merangkumi sektor ekonomi, kebajikan, pendidikan, perumahan, komuniti dan keselamatan untuk penduduk Permatang Pauh sekiranya BN menang pada PRK 7 Mei ini.

Sehubungan itu, beliau turut meminta PKR mengumumkan manifesto mereka sekiranya jujur untuk berkhidmat kepada penduduk di sini.

"PKR sudah 17 tahun menjadi wakil rakyat sini tetapi tiada apa-apa perubahan, kali ini kita nak tahu apa perancangan mereka untuk penduduk sini dan berapakah jumlah yang akan diperuntukkan untuk pembangunan," katanya kepada Bernama dan RTM di sini hari ini.

Mengenai isu sokongan PAS terhadap calon PKR pada PRK itu, Zainal Abidin berkata ahli-ahli PAS Pulau Pinang perlu mempertimbang semula sokongan terhadap pakatan rakyat memandangkan parti itu telah lama dihina dan dipermainkan dalam pakatan.

"Sebagai umat Islam yang saling bersaudara, BN tidak pernah bermusuh dengan PAS dan amat bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas mereka sekarang.

"Maruah mereka (PAS) sering kali dicabar dan saya berharap penyokong mereka di Permatang Pauh akan membuat pertimbangan semula," katanya.

Isu sokongan PAS kepada calon PKR pada PRK Parlimen Permatang Pauh ini mendapat perhatian apabila PAS Permatang Pauh mengeluarkan kenyataan tidak akan membantu kempen pilihan raya kecil itu, tetapi menarik balik keputusan itu pada hari penamaan calon.

Pemuda PAS Pulau Pinang yang sebelum ini menyatakan pendirian sama turut menarik balik keputusan mereka hari ini.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen Pengampunan Diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 7 Mei.



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.