Friday, April 10, 2015

Kelantan Risau -Nwakamea Duri Dalam Daging?

pilihanraya kini     10:18 AM    



PASUKAN Kelantan perlu berwaspada dengan aksi bekas pemainnya, Dickson Nwakaeme apabila bertemu Pahang dalam saingan Liga Super 2015 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini Sabtu ini. 

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat berkata, barisan pertahanan skuad The Red Warriors (TRW) perlu memberi perhatian yang lebih kepada Dickson kerana pemain itu mempunyai corak permainan cukup berbahaya.

"Kita kena hati-hati kerana Pahang ada kombinasi pemain yang cukup bagus dan Dickson merupakan kekuatan pasukan Pahang.

"Selain dia (Dickson) kita juga perlu berwaspada dengan R. Gopinathan, dia mempunyai hantaran lintang yang cukup bagus," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Khairul Fahmi yang lebih mesra dengan panggilan Apek berkata pasukannya perlu meraih kemenangan pada pertemuan itu bagi menaikkan kembali semangat pemain setelah TRW hanya mencatat dua kemenangan dalam saingan liga, setakat ini.

"Kita dahagakan kemenangan setelah hanya mampu menang dua perlawanan setakat ini dan moral pemain juga kena kuat untuk kita kembali fokus dalam saingan Liga Super.

"Aksi hambar ketika menentang Sime Darby FC pada saingan suku akhir Piala FA juga perlu dilupakan dan kita perlu cari kemenangan ketiga (dalam Liga Super) pada musim ini," katanya.

Khairul Fahmi percaya jurulatih baharu pasukan itu, Mohd Azraai Khor Abdullah mempunyai perancangan serta strategi tersendiri untuk menewaskan Pahang. 

Kelantan kini berada di kedudukan kelapan Liga Super dengan tujuh mata, selepas hanya mencatat dua kemenangan daripada enam perlawanan. 

- Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.