Monday, April 6, 2015

Kerusi Parlimen Permatang Pauh Sudah Kosong Sejak 16 Mac Lepas Lagi : Tan Sri Pandikar Amin Mulia

pilihanraya kini     2:18 PM    

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia


KERUSI Parlimen Permatang Pauh telah secara rasminya kosong sejak 16 Mac lepas selepas Lembaga Pengampunan Diraja menolak petisyen yang dihantar oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan pengampunan Diraja.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau telah menerima suatu surat yang memaklumkan keputusan petisyen pengampunan bagi Anwar pada hari ini.
“Dalam hal ini, petisyen pengampunan bagi Yang Berhormat Permatang Pauh telah diputuskan pada 16 Mac 2015 bahawa hukuman penjara bagi tempoh lima tahun yang dikenakan terhadap Yang Berhormat Permatang Pauh hendaklah diteruskan.

MENARIK – Mohon Agong Ampun, Tapi Tak Sopan Bila Depan Tuanku

“Dengan keputusan ini, makanya Yang Berhormat Permatang Pauh telah hilang kelayakannya sebagai Ahli Parlimen pada 16 Mac 2015 iaitu sebaik sahaja petisyen bagi suatu pengampunan itu diputuskan,” kata Pandikar.

Pandikar berkata suatu pemberitahuan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik sahaja Anwar hilang kelayakan berkenaan.

Pada Februari lepas, Anwar melalui isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah telah menghantar petisyen berkenaan untuk memohon pengampunan Diraja untuk kesalahan meliwat yang dilakukan Anwar.

Anwar dituduh pada 2008 meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah dalam kes itu seterusnya menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.
Pada 10 Februari, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman berkenaan dan Anwar kini Anwar sedang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh.

– PRU14.tv

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.