Monday, April 13, 2015

Malaysia Pembekal Utama Peralatan Perubatan Dalam Kalangan Negara OIC

pilihanraya kini     11:38 AM    


Malaysia adalah pembekal utama peralatan perubatan hospital dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh seorang wakil perubatan dari kalangan negara OIC kepadanya tahun lepas, yang menyifatkan negara ini sebagai penyumbang terbesar yang membekalkan peralatan perubatan di dunia.
"Malaysia mendahului dari kalangan 57 negara OIC yang berjaya menguasai pasaran pembekalan peralatan perubatan ini ke seluruh negara, antaranya mesin dan perabut yang digunakan di hospital," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan program Bakti Siswa Pelajar Perda-Tech di Kampung Jalan Bharu, dekat sini hari ini.
Beliau turut berkata bahawa negara-negara Timur Tengah turut menyatakan minat untuk mendalami dari Malaysia mengenai teknologi yang digunakan negara ini untuk menghasilkan peralatan perubatan.
Berikutan pencapaian itu, Dr Hilmi yang juga anggota Parlimen Balik Pulau mengalakkan anak-anak muda agar belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi perintis serta pakar dalam mereka cipta peralatan-peralatan baharu.
Mengulas perkembangan denggi, Dr Hilmi melahirkan rasa lega berikutan wabak penyakit itu sudah menunjukkan penurunan.
"Dalam tempoh seminggu kini, hanya 1,600 kes dilaporkan di negara ini berbanding 3,000 ke 3,500 kes sebelum ini bagi tempoh sama. Semua pihak telah bekerja keras untuk menangani penularan wabak denggi ini," katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.