Monday, April 20, 2015

Mengapa Jambatan Bengkok Tidak Dapat Dilaksanakan : Satu Catatan Sejarah:

pilihanraya kini     11:40 AM    


Oleh kerana isu Jambatan Bengkok ini dibangkitkan semula dan Perdana Menteri Mohd Najib Razak dituduh tidak memenuhi janji beliau melaksanakannya, MYKMU menerbitkan semula Kenyataan Media Jabatan Perdana Menteri Mengenai Isu Pembatalan Jambatan Bengkok pada 14 Julai 2006.
KENYATAAN MEDIA MENGENAI PENGKLASIFIKASIAN SEMULA DOKUMEN RAHSIA BERHUBUNG ISU JAMBATAN BENGKOK
Kerajaan telah mengklasifikasikan semula beberapa dokumen rahsia yang relevan dan petikan darinya, bagi membolehkan rakyat Malaysia memahami mengapa Kerajaan mengambil keputusan untuk membatalkan projek jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
Dengan berbuat demikian, ia telah menjawab dengan sebenarnya beberapa dakwaan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu:
1. Kerajaan Singapura menerima cadangan Malaysia untuk membina sebuah jambatan bengkok.
2. Jambatan berkenaan bukan sebahagian daripada pakej tertunggak isu dua hala.
3. Malaysia adalah negara lemah dan tidak mempunyai keberanian (half past six with no guts) dengan tidak meneruskan projek jambatan bengkok.
4. Ketika di meja rundingan, Malaysia yang mengemukakan isu penjualan pasir dan kebenaran untuk Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) menggunakan ruang udara negara ini.
5. Ini adalah kali kedua dalam sejarah negara di mana maklumat yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 telah diklasifikasikan semula dan diluluskan untuk tatapan masyarakat awam.
6. Langkah ini merupakan satu bukti jelas betapa seriusnya Kerajaan ingin memberi fakta yang lengkap kepada rakyat agar mereka dapat memahami mengapa Kerajaan membuat keputusan untuk membatalkan projek jambatan berkenaan.
Di dalam pakej dokumen yang dikeluarkan ini adalah segala surat-menyurat yang dibuat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan dua bekas Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Chok Tong.
Petikan daripada rekod mesyuarat di antara Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Encik Goh Chok Tong di Kuala Lumpur pada Mac 2005, juga akan dikeluarkan untuk tatapan umum.
Kandungan bagi dokumen ini mempunyai tiga fakta utama:
1. Perbincangan bersama Singapura mengenai isu ruang udara bukanlah satu perkara baru yang disyorkan oleh Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah memasukkan isu ruang udara sebagai satu pertukaran (trade off) dan menjadi sebahagian daripada isu berpakej yang ingin diselesaikan bersama Singapura ketika mengadakan beberapa rundingan daripada 1998 sehingga 2002.
Ini terbukti dalam kandungan surat Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Kanan Encik Lee Kuan Yew pada 4 Mac 2002.
Isu yang sama inilah yang dibangkitkan oleh Menteri Kanan Encik Goh Chok Tong semasa satu mesyuarat bersama Dato’ Seri Abdullah pada 1 Mac 2005.
Fakta ini menangkis dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan sekarang yang menawarkan penggunaan ruang udara Malaysia oleh jet-jet pejuang RSAF.
2. Penjualan pasir kepada Singapura dibangkitkan oleh Republik tersebut semasa mesyuarat di antara Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Encik Goh Chok Tong pada 1 Mac 2005.
Ini menangkis dakwaan bahawa Kerajaan sekarang yang membangkitkan isu pasir di meja rundingan.
3. Pendapat Undang-undang dari Jabatan Peguam Negara menunjukkan bahawa Malaysia tidak boleh meneruskan usaha membina jambatan secara bersendirian (unilateral) tanpa mematuhi tuntutan undang-undang. Khususnya, Malaysia mempunyai tanggungjawab yang terkandung di bawah Perjanjian Air Johor – Singapura 1961 dan 1962, Perjanjian Wayleave dan Perjanjian Pemisahan 1965.
Rintangan utama yang dihadapi Malaysia dalam soal ini adalah jika pembinaan jambatan bengkok diteruskan, ia akan melibatkan perobohan Tambak Johor sebelah Malaysia. Perobohan ini secara langsung menjejaskan paip-paip air yang dibina dalam Tambak Johor dan paip-paip air yang dibina di kiri dan kanan Tambak Johor.
Mengikut Perjanjian Air Johor – Singapura 1961 dan 1962, hak milik paip-paip tersebut diberikan kepada Lembaga Kemudahan Awam Singapura (Public Utilities Board atau PUB).
Jabatan Peguam Negara telah memberi pendapat undang-undang bahawa di bawah Perjanjian Air Johor – Singapura 1961 dan 1962, “Malaysia perlu mendapatkan kebenaran dari PUB bagi mengubah kedudukan paip-paip untuk pembinaan jambatan lurus sepenuhnya atau jambatan bengkok”.
Di bawah Perjanjian Pemisahan Malaysia – Singapura 1965, Malaysia menjamin obligasinya yang terkandung dalam Perjanjian Air Johor – Singapura 1961 dan 1962.
Paip-paip air yang terletak di dalam Tambak Johor adalah tertakluk di bawah Perjanjian Air Johor – Singapura 1961. Justeru, peruntukan Perjanjian Wayleave yang boleh digunapakai ke atas paip-paip air yang terletak di kiri dan kanan Tambak Johor tidak boleh digunapakai ke atas paip-paip air yang terletak di dalam Tambak Johor.
Oleh itu, dakwaan bahawa paip-paip air yang terletak di dalam Tambak Johor boleh dialihkan secara bersendirian (unilateral) selepas memberi notis enam bulan kepada Singapura adalah tidak benar.
Dengan mengambilkira fakta ini, Kerajaan sekarang perlu membuat keputusan tegas untuk menolak cadangan timbang balas (quid-pro-quo) Singapura untuk memperoleh pasir dan ruang udara.
Keputusan ini dibuat memandangkan ianya akan menjejaskan kedaulatan Negara. Kerajaan perlu membuat keputusan politik untuk menghentikan projek jambatan ini memandangkan ianya selaras dengan sentimen Rakyat dan kepentingan Negara.
Kesimpulannya, keseluruhan isu ini berkisar pada satu fakta yang mudah – Malaysia mahukan jambatan tersebut dan Singapura tidak.
Jambatan lurus sepenuhnya yang dicadangkan oleh Malaysia sepatutnya menjadi simbol persahabatan dan seharusnya memberikan manfaat kepada kedua-dua Negara. Walau bagaimanapun, tanggungjawab untuk mencapai matlamat ini tidak hanya terletak kepada Malaysia semata-mata.
Nota: Keterangan lanjut mengenai isu ini terkandung dalam Lampiran A yang disertakan bersama.
Lampiran A:
Bekas Perdana Menteri, YABhg Tun Dr. Mahathir telah membuat pelbagai dakwaan berkenaan dengan keputusan Kerajaan untuk tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
Kerajaan kini ingin membentangkan fakta-fakta dan menjelaskan rentetan sejarah mengenai keputusan yang telah diambil.
Dakwaan: Bahawa Kerajaan Singapura telah menerima cadangan Malaysia untuk membina sebuah jambaan bengkok untuk menggantikan Tambak Johor sebelah Malaysia.
Fakta: Pada 4 Mac 2002, Tun Dr. Mahathir telah menulis kepada Menteri Kanan Lee Kuan Yew mengenai cadangan Malaysia berkenaan pakej isu dua-hala yang tertunggak.
Antara lainnya, beliau telah mencadangkan pembinaan jambatan di sebelah Malaysia manakala Singapura akan membina jambatan di sebelah Singapura dengan masing-masing menanggung kos sendiri.
Selepas jambatan tersebut siap, Tambak Johor akan dirobohkan. Tun Dr Mahathir seterusnya mencadangkan bahawa sekiranya Singapura tidak mahu membina jambatan di sebelahnya, Malaysia bercadang untuk membina jambatan di kawasannya sendiri.
Sebaik sahaja jambatan itu siap, Tambak Johor sebelah Malaysia akan dirobohkan.
Pada 11 April 2002, Perdana Menteri Goh Chok Tong membalas surat tersebut dan menyatakan persetujuannya, walaupun beliau lebih gemar kepada cadangan jambatan penuh.
Bagaimanapun, cadangan ini telah dibuat dalam konteks pendekatan berpakej untuk isu-isu dua hala yang tertunggak, yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut lagi di peringkat Menteri dan Pegawai Kanan.
Pada 7 Oktober 2002, Tun Dr. Mahathir memberitahu Perdana Menteri Goh Chok Tong bahawa Malaysia telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan isu-isu tertunggak secara berpakej dan hendak memberi tumpuan kepada penyelesaian isu air yang sudah lama tertangguh, terutamanya isu penyemakan semula harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura.
Pendekatan ini diambil kerana tiada kemungkinan dapat dicapai persetujuan dalam menyelesaikan isu-isu ini secara berpakej.
Pada 14 Oktober 2002, Perdana Menteri Goh Chok Tong bersetuju untuk tidak meneruskan perbincangan mengenai isu-isu tertunggak ini secara berpakej. Singapura menarikbalik persetujuan yang diberikan untuk pembinaan jambatan bengkok yang dilakukan dalam konteks penyelesaian secara berpakej dan menyatakan persetujuan yang telah diberikan terlebih dahulu untuk projek jambatan kini tidak boleh dipakai lagi.
Perdana Menteri Goh Chok Tong menulis: “…. Saya sebenarnya telah bersedia untuk memberi konsensi (concessions) dengan mengubahsuai Points of Agreement (POA) dengan beberapa bidang tanah tambahan, membenarkan pengeluaran awal bagi caruman Central Provident Fund (CPF) dan untuk membina jambatan di kawasan kami untuk menggantikan Tambak Johor dengan kos yang ditanggung oleh kami sendiri, sebagai pertukaran (trade off), supaya anda boleh memberi kepada kami ruang udara dan air di masa hadapan pada harga yang berpatutan .. Oleh kerana anda kini mahu membincangkan isu air secara berasingan dan tidak meneruskan pendekatan berpakej, pertukaran-pertukaran (trade offs) kini tidak boleh dilakukan.”
Kesannya, surat ini menunjukkan bahawa kedua-dua pihak kini kembali kepada status quo. Kenyataan Perdana Menteri Goh tidak disangkal oleh Tun Dr. Mahathir. Malah, Tun Dr Mahathir tidak menjawab surat Perdana Menteri Goh.
Singapura kemudiannya mengulangi pendiriannya dalam Nota Diplomatik pada 29 November 2004, ketika Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar sedang dibina. Ia menyatakan: “….. rundingan-rundingan yang berdasarkan pakej ini telah secara unilateral dihentikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 7 Oktober 2002.” Dengan terhentinya perundingan isu-isu berpakej ini, persetujuan Singapura untuk jambatan bengkok tidak lagi wujud.
Kesimpulan: Adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa Singapura menerima cadangan Malaysia untuk membina jambatan bengkok dalam wilayahnya. Persetujuan Singapura bagi Malaysia membina jambatan bengkok adalah sebaik-baiknya, suatu persetujuan yang diberikan secara tidak rela hati sepenuhnya dan dilakukan semata-mata berdasarkan pendekatan berpakej.
Dakwaan: Bahawa surat daripada Perdana Menteri Goh Chok Tong pada 11 April 2002 adalah komitmen muktamad Republik tersebut untuk cadangan pembinaan jambatan oleh Malaysia.
Fakta: Semasa rundingan di antara kedua negara, telah wujud persefahaman bahawa sebarang cadangan tidak akan dianggap muktamad selagi ia tidak dimeterai dalam satu perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua pemimpin Malaysia dan Singapura. Ini adalah seperti yang dijelaskan dalam surat Menteri Kanan Lee Kuan Yew kepada Menteri Tugas-Tugas Khas dan bekas Menteri Kewangan dahulu, Tun Daim Zainuddin pada 24 Ogos 2000.
Antara lain, surat itu menyatakan; “Untuk memudahkan kita menulis antara satu sama lain, untuk mencuba pelbagai pilihan, segala nota atau surat yang saya hantarkan kepada anda atau Mahathir, dan sebaliknya, perlu dilihat sebagai Tanpa Prasangka (Without Prejudice): bahawa tiada persetujuan melainkan semua perkara dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua PM.”
Kesimpulan: Adalah tidak tepat untuk dikatakan bahawa En Goh Chok Tong telah memberikan komitmen terhadap jambatan ini di dalam suratnya pada 11 April 2002. Tidak ada sebarang perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Singapura berhubung pembinaan jambatan ini.
Dakwaan: Bahawa jambatan ini tidak termasuk sebagai sebahagian daripada isu-isu berpakej dua hala.
Fakta: Pada mulanya, isu-isu berpakej tertunggak hanya meliputi empat perkara – air, Central Provident Fund (CPF), ruang udara dan menempatkan semula Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin KTM di Singapura. Ini telah disepakati oleh kedua-dua Negara di Hanoi pada 27 Disember 1998.
Namun demikian, projek jambatan itu telah dimasukkan kemudiannya ke dalam isu-isu berpakej melalui surat Tun Dr Mahathir kepada Menteri Kanan Lee Kuan Yew pada 4 Mac 2002 dan isu jambatan telah menjadi salah satu daripada lima isu di dalam pakej bertajuk “PAKEJ LIMA ISU MALAYSIA-SINGAPURA-CADANGAN MALAYSIA”
Kesimpulan: Isu jambatan ini menjadi sebahagian daripada isu-isu berpakej dua hala yang belum selesai disebabkan surat Tun Dr Mahathir telah memasukkannya dalam isu berpakej.
Dakwaan: Bahawa keputusan Kerajaan untuk membatalkan projek jambatan ini akan mengakibatkan kerugian berbillion ringgit.
Fakta: Jumlah kos pembinaan CIQ, jambatan bengkok dan landasan KTM yang baru merentasi Selat Johor adalah RM2.379 billion.
Buat masa ini, Kerajaan masih lagi mempertimbangkan bayaran pampasan kepada Gerbang Perdana Sdn Bhd. Namun begitu, perlu ditekankan bahawa keputusan untuk membatalkan projek jambatan ini bukanlah satu keputusan ekonomi. Setelah berpuas hati bahawa Malaysia tidak boleh membina jambatan secara unilateral atau tunduk kepada tuntutan Singapura, pembatalan rancangan pembinaan jambatan ini adalah keputusan kewangan yang paling bertanggungjawab dan tepat.
Kesimpulan: Bukanlah satu keputusan yang wajar untuk membelanjakan RM1.13 billion untuk struktur pembangunan yang akhirnya menemui jalan buntu.
Dakwaan: Bahawa Malaysia adalah negara yang lemah dan dayus (half past six) kerana membatalkan projek jambatan tersebut.
Fakta: Jelasnya, Kerajaan perlu membuat keputusan yang tepat dengan mengambilkira kepentingan rakyat. Kerajaan telah menimbang semula keputusan unilateral yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir untuk membina jambatan bengkok tetapi yang akhirnya tidak menghasilkan penyelesaian yang terbaik.
Jambatan bengkok bukanlah satu warisan yang harus dan wajar ditinggalkan kepada generasi mendatang Malaysia. Sebelum mengambil keputusan untuk membatalkan projek jambatan ini, Kerajaan telah mengkaji bukan sahaja Perjanjian Wayleave tetapi juga Perjanjian Air Johor – Singapura 1961 dan 1962, Perjanjian Pemisahan Malaysia – Singapura (Separation Agreement) 1965 dan turut mengambilkira pandangan daripada Jabatan Peguam Negara.
Berikut adalah Pendapat Undang-Undang dari Jabatan Peguam Negara: “…pembinaan jambatan bengkok untuk menggantikan Tambak Johor sebelah Malaysia perlu dikaji secara menyeluruh dengan mengambil kira implikasi undang-undang antarabangsa khususnya kesan alam sekitar terhadap Singapura dalam dan di sekitar kawasan Selat Johor.
“Selain daripada itu, pembinaan jambatan bengkok ini akan melibatkan perobohan Tambak Johor sebelah Malaysia. Perobohan ini akan secara langsung menjejaskan paip-paip air yang terletak di dalam Tambak Johor dan paip-paip air yang terletak di kiri dan kanan Tambak Johor. Dalam konteks ini, implikasi undang-undang perlu dikaji berdasarkan Perjanjian Air Johor – Singapura 1961 dan 1962, Perjanjian Wayleave dan Perjanjian Pemisahan Malaysia – Singapura (Separation Agreement) 1965.
“Malaysia sebagai sebuah Negara berdaulat dan bebas mempunyai kuasa mutlak terhadap kawasannya dan di dalam melaksanakan kuasa tersebut, tidak ada Negara lain yang berhak campur tangan. Walau bagaimanapun, Malaysia tidak boleh mengambil tindakan unilateral tanpa mengambil kira prinsip dan tuntutan undang-undang antarabangsa, yang turut menyentuh serta mengambil kira hak dan kepentingan Negara-negara jirannya.”
Kesimpulan: Dengan timbulnya pelbagai kekeliruan, adalah penting bagi Kerajaan untuk mengkaji keputusannya dan melakukan tindakan yang betul. Untuk mentadbir Kerajaan, ianya tidak seharusnya didorong oleh kemahuan mengejar populariti ataupun untuk menimbulkan sebarang konflik. Pengurusan Kerajaan adalah mengenai pertimbangan baik dan buruknya sesuatu tindakan, dan seterusnya membuat satu keputusan yang terbaik untuk Malaysia.
Dakwaan: Malaysia menawarkan ruang udara dan pasir kepada Singapura.
Fakta: Isu berkaitan penggunaan ruang udara Malaysia sudahpun dibawa ke meja rundingan antara tahun 1998 dan 2002. Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri memasukkannya di dalam surat kepada Menteri Kanan Lee Kuan Yew pada 4 Mac 2002. Beliau menawarkan kemudahan tersebut sebagai satu pertukaran (trade off) semasa rundingan berpakej diadakan. Oleh kerana isu-isu dua hala tidak dibincangkan secara berpakej, dakwaan yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi relevan.
Sebelum ini, Singapura pernah menikmati lima jenis kemudahan penerbangan sebelum ditarik balik pada tahun 1998. Semasa perundingan, Singapura telah meminta agar Malaysia membenarkan semula kesemua kemudahan tersebut tetapi Kerajaan sekarang hanya bersedia menawarkan dua daripada lima kemudahan berkenaan, iaitu Mencari dan Menyelamat (Search and Rescue) dan Transit Koridor Utara (Northern Transit Corridor) dengan terma dan syarat yang perlu dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Kemudahan Mencari dan Menyelamat ditawarkan berdasarkan prinsip timbal balas (reciprocity) dan ia adalah selaras dengan amalan antarabangsa. Kemudahan Laluan Koridor Utara pula hanyalah bagi tujuan transit ke Laut China Selatan. Pesawat tentera udara Singapura tidak dibenarkan berlegar di ruang udara Malaysia.
Kesimpulan: Penggunaan ruang udara Malaysia dibangkitkan oleh Perdana Menteri Goh Chok Tong semasa mesyuarat dengan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Mac 2005 di Putrajaya. Singapura menyatakan bahawa isu ini adalah penting bagi mereka dan ianya akan memudahkan untuk pembinaan jambatan diterima oleh Singapura.
Penutup: Perlu ditegaskan, bagi Singapura, mereka tidak menganggap ada keperluan untuk menggantikan Tambak Johor dengan jambatan. Justeru itu, Singapura inginkan timbang balas bagi mereka apabila bersetuju dengan jambatan. Merekalah yang meminta pasir serta penggunaan ruang udara sebagai balasan.
Namun begitu, apabila jelas yang rakyat Malaysia tidak mahukan penjualan pasir atau membenarkan penggunaan ruang udara oleh jet pejuang RSAF, Kerajaan bertindak tegas dan membuat keputusan yang boleh diterima – iaitu tidak meneruskan dengan rancangan membina sebuah jambatan.
Sekiranya Kerajaan menerima dua syarat Singapura bermakna Kerajaan membelakangkan kehendak sebilangan besar rakyat Malaysia. Kerajaan sentiasa menegaskan bahawa sebarang keputusan dibuat adalah keputusan politik, yang mana ia berdasarkan sentimen, kedaulatan dan maruah rakyat Malaysia.
Dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
14 Julai 2006

— BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.