Thursday, April 30, 2015

PAS “Flip-Flop” Hina Diri Sendiri Di Permatang Pauh Demi...?

pilihanraya kini     2:31 AM    


Sebagaimana yang dijangka ramai pemerhati politik, PAS Permatang Pauh dan Pemuda PAS Pulau Pinang akhirnya membuat keputusan untuk membuat “pusingan U” setelah sebelum ini mereka kononnya menegaskan berpegang teguh pada prinsip menegakkan hukum Allah SWT.
Setelah PAS Permatang Pauh “tewas” berdepan dengan Mat Sabu, pagi tadi Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang pula menggadai maruah dan hukum Allah apabila menyatakan bahawa mereka akan kembali berkempen untuk sebuah parti yang menolak enakmen hudud.
Sebelum ini, PAS Permatang Pauh dalam fatwa mereka sempena PRK Permatang Pauh menegaskan bahawa adalah haram hukumnya memberi undi pada parti yang menolak hudud dan kenyataan itu dipercayai merujuk kepada PKR dan DAP.
Namun, apabila sudah sanggup menggadai prinsip dan maruah diri, agaknya apa yang boleh kita bayangkan tentang perjuangan mereka yang jelas “flip-flop” itu? Goyah, rapuh dan langsung tidak meyakinkan, bukan?
Berdegar-degar bunyinya di depan rakyat kononnya haram mengundi parti yang menolak hudud. Kini, yang haram sudah menjadi halal. Apakah PAS kini sudah tersampuk “hantu” PKR yang memegang teguh prinsip “matlamat menghalalkan cara”?
haram prk pp
Saya enggan untuk membuat sebarang tuduhan terhadap PAS Permatang Pauh mahupun Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang tentang tindakan mereka membuat pusingan U ini.
Namun tidak kiralah sama ada wang ringgit, jawatan tinggi atau sejahat mana ugutan yang dihamburkan, apa yang jelas bahawa mereka sanggup menggadaikan apa saja demi politik, bukan?
Jika sampai tergamak menggadai hukum halal haram dan perjuangan, di mana agaknya mereka meletakkan maruah mereka? Di bawah buku lali atau lebih hina lagi di bawah tapak kaki?
Jika mereka menggadai sesuatu yang bersifat duniawi, saya mungkin boleh menerima baik tindakan tersebut. Apalah sangat dengan dunia yang sementara ini, bukan?
Namun, apabila prinsip yang digadai mereka itu melibatkan hal agama Islam dan hukum-hakam Allah SWT, nampaknya PAS sememangnya parti “flip-flop” yang tergamak memperjudikan agama demi merebut kuasa politik.
Kini sudah terbukti dengan jelas bahawa PAS hanya mempermain dan memperguna Islam sebagai alat pekakas mereka untuk meraih sokongan umat Islam di Malaysia. PRK Permatang Pauh adalah saksinya.
Saya yakin, rakyat di negara ini khususnya umat Islam dapat melihat kebobrokan PAS yang kononnya berjuang demi Islam, namun sebenarnya hanyalah sebuah jemaah yang lebih “bertuhankan” politik berbanding prinsip perjuangan Islam. Biarlah rakyat menilai…
Yang saya pasti, PKR dan DAP akan tersengih-sengih melihat PAS di Permatang Pauh. Begitu mudah sekali PAS tewas dalam permainan politik dalaman Pakatan Rakyat. Tidak perlu menghina PAS, hari ini PAS sendiri yang menghina diri sendiri di Permatang Pauh.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.