Monday, April 27, 2015

PAS yakin menang #PRKRompin dengan ‘bantuan’ Dr Mahathir

pilihanraya kini     10:22 AM    




PAS yakin akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan isu rakyat yang dipromosikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak kebelakangan ini, kata Salahuddin Ayub .

Naib presiden PAS itu berkata, kritikan Dr Mahathir terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka menjelaskan isu-isu yang membabitkan rakyat dan negara.

"Sudah tentu kita yakin capai kemenangan di Rompin. Ini peluang terbaik kita untuk perjelaskan kesan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan isu kejatuhan saham FGV (Felda Goobal Ventures) yang semakin menekan rakyat, khususnya peneroka Felda. Di Rompin ada 15 Felda," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurut bekas ahli Parlimen Kubang Kerian itu, kempen PAS kali ini tidak boleh dikatakan "isu dibangkitkan pembangkang" kerana ia turut disuarakan negarawan seperti Dr Mahathir.

"Ini masa terbaik, kerana kali ini GST dipromosikan sendiri oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir. Jadi ini lebih mudah untuk kita dekati masyarakat di sana. Halangan tidak ada lagi. Halangan hujah pembangkang itu tidak ada lagi kerana benar-benar jadi isu rakyat dan diperjuangkan sendiri oleh bekas perdana menteri," katanya dalam laporan Sinar Harian.

Sabtu lalu, Dr Mahathir menggesa Putrajaya membatalkan pelaksanaan GST yang diperkenalkan 1 April lalu kerana para pegawai kerajaan yang melaksanakan sistem cukai baharu itu sendiri tidak memahaminya.

Bekas perdana menteri itu sebaliknya berkata, kerajaan seharusnya hanya menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan.

"Saya fikir batal sajalah," katanya disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh kira-kira 1,000 hadirin di Kelab K, Taman Melawati, Selangor.

"Dulu ada cukai jualan. Kalau tambah sikit cukai jualan, itu okay. Tetapi perkenalkan satu sistem yang pegawai sendiri pun tidak faham," katanya apabila ditanya mengenai apakah kadar semasa GST terlalu tinggi pada program "Bicara Negarawan: Anda Tidak Keseorangan" anjuran gabungan badan bukan kerajaan NGO Prihatin.

Pelaksanaan GST menimbulkan kemarahan orang ramai terutamanya rakyat bawahan kerana terpaksa berdepan dengan satu sistem cukai yang lebih menyeluruh dan menyaksikan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan. – 27 April, 2015.


Sumber :TMI


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.