Wednesday, April 29, 2015

#PRKPermatangPauh : AMK Pulau Pinang Wajar Mohon Maaf Kepada Abdul Hadi - Timbalan Mursyidul Am PAS

pilihanraya kini     6:06 PM    


Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang wajar memohon maaf kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menuduh PAS menjalin persahabatan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung isu hudud, kata Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob.

Menteri Besar Kelantan itu berkata PAS tidak mempunyai sebarang hubungan dengan BN dan kerjasama yang berlangsung pada ketika ini adalah melibatkan kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan pusat.

"Sebenarnya tidak ada apa-apa hubungan (PAS) dengan UMNO (dan BN). Pihak kerajaan negeri (Kelantan) dan (kerajaan) Persekutuan bersetuju mengadakan jawatankuasa teknikal (di peringkat pusat) bagi melihat bagaimana Akta 355 (bidang kuasa Mahkamah Syariah) boleh dibuat pindaan di peringkat Parlimen, itu sahaja.

"Mungkin bagi Pemuda (Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang) itu satu tuduhan kepada presiden ... itu mungkin sebabnya (AMK perlu) minta maaf. (Ia) wajarlah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah sebelum ini berkata sayap itu tidak akan turun berkempen membantu PKR dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh selepas AMK Pulau Pinang enggan memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan yang didakwa memfitnah Abdul Hadi.

Bagaimanapun, hari ini Mohd Yusni berkata mereka membatalkan hasrat memboikot PRK Parlimen Permatang Pauh namun bertegas mahu AMK memohon maaf berhubung kenyataan mereka memfitnah pimpinan PAS.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari berkata pihaknya akan terus menggesa AMK Pulau Pinang menarik balik tuduhan yang dilontarkan kepada Abdul Hadi serta meminta maaf kepada Presiden PAS itu.

"Dalam hal ini kami juga berpendirian bahawa pihak yang menyerang atau pihak yang mengeluarkan kenyataan awal kononnya Presiden PAS ini melakukan kerjasama dengan UMNO perlu dan wajib meminta maaf dan menarik balik kenyataan mereka," katanya.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Suhaimi Sabudin (BN), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekaligus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.